Artikel Pilihan

KELEBIHAN GEAR MANUAL

Kalau diperhatikan trend pembelian kereta baru sekarang, mungkin 11 daripada 10 kereta baru yang dibeli ialah kereta dengan transmisi automatik. Tak kisahlah samaada DSG, CVT ataupun automatik konvensional, transmisi manual mulai dilupakan dalam dunia automotif.

Kecuali jika anda membeli model prestasi tinggi seperti Honda Civic Type R atau Renault Megane, hampir semua model mampu popular hanya menawarkan versi automatik sahaja kepada pembeli. Hanya Perodua dan Proton masih menawarkan versi manual namun terhad kepada varian termurah sahaja.

Kami senaraikan beberapa kelebihan gear manual berbanding dengan gear automatik.

1. Harga – kereta yang menggunakan gear manual sentiasa dijual lebih murah berbanding dengan gear automatik. Sebagai contoh Perodua Bezza 1.0 Manual dijual pada harga RM 34,580 berbanding dengan versi auto yang dijual pada harga RM 36,580.

Bagi model lain, perbezaan harga mencecah sehingga RM 3000 ke RM 4000. Jika anda ada kekangan kewangan, memilih gear manual adalah tindakan yang bijak.

2. Servis – gear automatik perlu diservis mengikut sela masa yang ditetapkan oleh pengeluar samaada 20k km, 40k km atau 60k km. Semasa proses ini minyak hidraulik yang lama akan ditukar dan digantikan dengan baru. Ini akan memastikan penukar tork berfungsi dengan baik.

Kos penukaran minyak hidraulik ini bergantung kepada rekaan transmisi namun ia biasa menggunakan antara 2- 3.5 liter. Kos juga berbeza antara satu sama lain. Transmisi manual juga perlu diservis, namun sela masanya lebih panjang dan kosnya penukaran cecair lebih murah.

3. Kecekapan operasi – gear manual memindahkan tenaga kinetik kepada tayar melalui gear manual secara mekanikal. Dalam konsep ini, kecekapan mekanikal gear manual mencecah 100%. Dalam gear automatik, tenaga kinetik dipindahkan daripada enjin kepada gear melalui penukar tork

Penukar tork menggunakan cecair hidraulik untuk beroperasi dan kecekapan hidraulik adalah antara 80-90%. Untuk mencapai kecekapan yang tinggi, gear automatik perlu menggunakan lock-up clucth secepat mungkin sebaik sahaja gear selesai menukar ratio

4. Berat – kereta yang menggunakan gear manual biasanya lebih ringan berbanding dengan gear automatik. Beratnya berbeza sekitar 15-30kg antara gear manual dan juga gear automatik. Ingat tuan, berat ini berada di bahagian depan kereta.

Dah berulang kali kami sebut dan kami akan sebut lagi. Pertambahan berat terutama di bahagian depan akan membunuh karekter fun to drive. Bahagian depan kereta yang berat akan menyebabkan kereta menjadi mudah untuk understeer.

5. Situasi Kecemasan – bayangkan jika sekiranya anda gagal menghidupkan kereta jika bateri kereta anda lemah ataupun penghidup anda rosak. Kereta manual masih boleh dohidupkan dengan cara menolaknya dan pastikan gear manual sudahpun dimasukkan.

Tayar akan berpusing, memusingkan sistem gear dan komponen elektrik akan menghantar percikan api pada palam pencucuh bagi menghidupkan kembali kereta. Anda tidak boleh melakukan proses ini pada kereta automatik. Pastikan anda menyimpan kabel elektrik kecemasan di dalam kereta.

6. Kebebasan menukar gear – gear automatik akan dilengkapkan dengan ECU ataupun unit pemprosesan data bagi menentukan proses penukaran gear samaada perlu menggunakan gear tinggi, rendah ataupu kekal pada gear yang digunakan sekarang. ECU ini bergantung pada pelbagai sensor yang dipasang pada kereta.

Namun secanggih manapun ECU tersebut, ia masih gagal meneka dengan tepat kemahuan pemandu. Pemandu menganalisa semua maklumat pemanduan berdasarkan input dari deria mata, telinga, getaran dan gerak hati sebelum membuat keputusan.

Gabungan analisis pemanduan oleh otak, menukar gear dengan tangan kiri dan pergerakan kaki kiri apabila menekan klac memberikan satu kepuasan kepada pemandu walaupun proses yang berulangkali ini kadangkala memenatkan.

Tags
Google ads
Back to top button