Modifikasi

KUASA HONDA CIVIC EF

Sedar tak sedar, Honda Civic siri EF sudah menyambut ulang tahun yang ke-25 pada tahun ini. Kalau ikut peraturan kereta klasik, Civic EF memang layak masuk kategori kereta klasik. Begitulah juga umur enjin B16A yang bagi saya masih belum ada tandingannya dari segi prestasi untuk sebuah enjin tanpa bantuan turbo. 

DSC_0213

Kemampuan menjana kuasa sehingga 160hp untuk enjin bersesaran hanya 1,600cc adalah satu pencapaian yang sangat menakjubkan. Apatah lagi angka ini dicapai 25 tahun yang lalu!

Walaupun di Amerika Syarikat (AS), negara yang sangat mencintai jenama Honda telah mula beralih kepada enjin siri K untuk projek ubah suai mereka, enjin siri B masih lagi popular di Malaysia. Kehadiran alat ganti berprestasi tinggi dari AS yang murah dan berkualiti tinggi membuatkannya kekal menjadi enjin pilihan bagi kaki racing di Malaysia.

DSC_0205

Pengembaraan kru kami ke Tawau, Sabah menemukan kami dengan Civic EF yang boleh tahan ganasnya. Kereta itu sekali-sekala digunakan untuk perlumbaan. Tetapi sebenarnya ia lebih banyak digunakan sebagai kereta harian. Inilah keistimewaan Honda dengan enjin VTEC. Kalau tak ditekan, enjin itu macam enjin kereta biasa sahaja.

Mungkin kekurangan enjin VTEC terletak pada daya kilasnya (tork). Low end torque enjin tersebut agak gagal. Jadi nak buat macam mana? Apa kata kita gabungkan enjin VTEC dengan blok enjin yang lebih besar. Haa… Memang menjadi. Pemilik EF ini, Nazlee menghantar kereta Civic beliau ke bengkel Holset Enterprise untuk menyiapkan projek enjin hibrid tersebut.

DSC_0224

Walaupun Civic tidak pernah dibekalkan dengan enjin 2,000cc, Honda bagaimanapun menggunakan blok enjin 2,000cc siri B untuk Honda CRV generasi pertama. Jadi blok enjin itulah yang dijadikan asas untuk projek hibrid enjin VTEC ini.

Padanan kepala silinder VTEC boleh dilakukan secara “plug n play”. Tetapi blok enjin CRV itu perlu diubah suai sikit, terutama pada bahagian omboh. Blok enjin B20B  sekarang menggunakan omboh Wiseco 85mm jenis mampatan tinggi (high compression). Ia dilihat lebih sesuai dengan karektor enjin VTEC yang mampu diputar pada kadar yang tinggi.

DSC_0227

Kepala silindernya dipasang dengan sepasang aci sesondol Jun Type III yang lengkap bersama gegelung (spring) injapnya. Bahagian manifold kemasukan enjin telah diganti dengan barang lain. Lebih tepat lagi, satu set manifold Skunk2 dengan throttle body Works Engineering. Semua alat pancitan bahan api asal diganti dengan sistem yang diambil daripada enjin Honda H22A.

Sistem kawalan eletronik enjin diberikan kepada GReddy e-Manage Ultimate yang sememangnya sebuah ECU jenis piggyback. Ia mampu menala enjin ini bukan sahaja untuk nisbah minyak dan udara, malah ignition timing serta bukaan VTEC. Pam bahan api daripada Bosch dan kabel palam pencucuh NGK melengkapkan ubah suai enjin ini.

DSC_0195

Menambah keseronokan memandu Civic yang beratnya lebih kurang satu tan ini adalah ubah suai yang dilakukan pada kotak gear. Honda Civic bagi saya mempunyai kotak gear terbaik. ‘Feel’ menukar gearnya ibarat sebuah kereta lumba – tepat dan pantas.

Kotak gear Civic EF ini dinaik taraf dengan menggunakan klac perlumbaan jenama  Trinity dan flywheel daripada Toda Racing. Kotak gear ini juga dibekalkan dengan sistem LSD jenis full lock yang membuatkan pemanduannya ibarat memandu sebuah kereta lumba.

DSC_0215

Civic siri EF ialah Civic pertama yang memperkenalkan sistem gantungan jenis wishbone berkembar yang diinspirasikan daripada teknologi jentera Formula 1. Untuk kereta yang sama generasi dengannya, tak boleh lawan Honda Civic kalau ambil selekoh.

Dengan enjin lebih berat dan prestasi lebih tinggi, elok juga sistem gantungan kereta dinaik taraf. Nazlee memilih sepasang penyerap hentak boleh laras Cusco untuk bahagian hadapan dan Tein boleh laras di belakang, sebelum melaraskan ketinggiannya ke tahap paling rendah.

DSC_0214

Rim asal EF diganti dengan rim Volk Racing TE37 berdiameter 15 inci bersama tayar 195/50/15. Sistem breknya pula diganti dengan brek jenis cakera daripada model EF9 yang menggantikan kombo brek cakera/gelendong asal Civic EF2.

Walaupun kereta ini nampak macam kereta racing hardcore, ruang dalaman  menceritakan hal yang sebaliknya. Saya suka betul tengok. Kemas dan bersih sehinggakan nak masuk ambik gambar pun rasa macam nak tanggal kasut.

DSC_0216

Tempat duduk depan menggunakan tempat duduk bucket penuh gaya racing daripada SSCUSS. Stereng asal diganti dengan stereng Momo. Di atas papan pemuka diletakkan dua buah meter jenama Defi dan sebuah takometer daripada Auto Meter.

Dari segi penampilan luaran, Civic EF2 ini dah jadi EF9 yang lengkap. Bampar hadapan dengan lampu isyarat membelok yang panjang dan spoiler dua tingkat di bonet belakang menjadikan Civic ini sebuah EF9 sebenar. Cat kuning yang dipilih sememangnya sangat padan dengan Civic ini yang nampak cukup garang dan agresif di atas jalan raya.

DSC_0208

Civic EF mungkin sudah berusia 25 tahun. Namun bagi peminat Honda, kereta ini ialah kereta entry level mereka untuk berjinak-jinak dengan teknologi VTEC. Tidak perlu risau, barang masih banyak. Terima kasih kepada warga AS yang macam anda, cukup berkenan dengan Honda klasik ini.

[hr] Spesifikasi

Pembuat/Model: Honda Civic EF2

Ubah suai enjin: Kepala silinder B16A, aci sesondol Jun Type III + spring injap, blok B20B 2000cc, set piston Wiseco 85mm, inlet manifold Skunk2, throttle body Works Engineering, alat pancitan bahan api H22A, kabel palam pencucuh NGK, pam bahan api Bosch

ECU: GReddy e-Manage Ultimate

Sistem ekzos: Manifold tag JASMA, ekzos buatan custom

Kotak gear: Klac perlumbaan Trinity, flywheel Toda Racing, LSD jenis full lock

Sistem gantungan: Penyerap hentak boleh laras Cusco (depan), Tein (belakang)

Rim/Tayar: Volk Racing TE37 15” / 195/50/15

Dalaman: Tempat duduk bucket penuh SSCUSS, stereng Momo Race, meter Defi, takometer Auto Meter

Luaran: Kit badan EF9 lengkap

Bengkel: Holset Enterprise

[hr] Galeri

DSC_0200DSC_0203DSC_0202DSC_0212DSC_0218DSC_0219DSC_0226
 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button