Buletin

MODEL ONE-OFF FERRARI SP48 UNICA DIPERKENALKAN. 710HP, BERMULA RM8.7 JUTA!

Jabatan projek khas Ferrari baru-baru ini memperkenalkan jentera terbaharunya, SP48 Unica.

Dibina sebagai model one-off, supercar dua tempat duduk itu dihasilkan untuk pelanggan setia yang tidak didedahkan namanya. SP48 Unica dibangunkan daripada model F8 Tributo yang merupakan model sambungan daripada 548 Italia yang dilancarkan pada tahun 2009.

Melihat dari arah sisi, kita boleh melihat corong pengambilan udara telah diposisikan semula. Manakala panel sil berwarna hitam pada bahagian bawah membuatkan jentera itu lebih maskulin dan atletik berbanding F8 Tributo.   

Sebenarnya, bahagian belakang SP48 Unica yang membuatkan ramai menggaru kepala kerana ia tidak mempunyai tingkap. Jadi, sesiapa pun tidak berpeluang untuk melihat enjin atau apa sahaja objek di belakang menerusi cermin pandang belakang.

Biarpun begitu, secara visualnya ia sangat cantik kerana seakan-akan menggabungkan bahagian hadapan dan belakang dengan begitu kemas.

Lampu quad yang menjadi identiti Ferrari dikekalkan, tetapi dalam bentuk garis LED secara horizontal.

Ferrari tidak berkongsi sebarang imej ruang kabinnya, namun berdasarkan kepada model bespoke sebelum ini, ia mungkin tidak banyak berbeza dengan jentera yang menjadi asasnya iaitu F8 Tributo.

Namun, Maranello memberitahu selain ketiadaan cermin belakang, SP48 Unica dipasang dengan upholsteri Alcantara yang dipotong menggunakan lazer bersama motif berbentuk heksagon. Corak itu diambil daripada gril hadapan dan bumbung.  

Tiada sebarang maklumat tentang naik taraf mekanikal. Jadi, ia pasti menggunakan enjin twin-turbo 3.9 liter V8 yang sama seperti F8 Tributo berkuasa 710hp.

Jika F8 Tributo dari kilang ditawarkan pada harga AS$277,000 (RM1.2 juta), pemilik SP48 Unica perlu membayar sekitar AS$2 juta (RM8.7 juta) dan menunggu selama lebih setahun untuk menerima jentera berkenaan.

Google ads
Back to top button