
KURANG TENAGA KERJA MAHIR, TEMPOH PEMBAIKAN EV MAKAN MASA LEBIH LAMA
Kenderaan elektrik (EV) sememangnya kini ‘laku keras’ di beberapa pasaran terutama di beberapa negara yang menyediakan pelbagai insentif untuk pelanggan.
Selain harga berpatutan, teknologi, adanya kemudahan pengecasan yang kini semakin bertambah baik antara faktor ramai mula beralih kepada EV.
Walau bagaimanapun, laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa pemilik EV bakal mengalami peningkatan mendadak dari segi kos pembaikan.

Antara sebabnya ialah tidak banyak bengkel menyediakan perkhidmatan pembaikan EV kerana kurangnya kemahiran selain ia lebih rumit diperbaiki.
Menurut laporan, banyak EV moden didatangkan dengan sistem 400 dan 800 volt boleh membawa maut jika berada di tangan juruteknik tidak terlatih.
Selain daripada renjatan elektrik, terdapat juga risiko lain muncul, antaranya kebakaran kenderaan elektrik dan lebih teruk lagi, EV adalah sukar untuk dipadamkan tanpa peralatan serta latihan pakar.
Terdapat masalah lain juga iaitu industri kekurangan juruelektrik automotif di seluruh dunia. Biro Statistik Buruh meramalkan bahawa A.S. memerlukan 80,000 juruelektrik hingga 2031, termasuk juruteknik EV.

Di UK, Institut Industri Permotoran (IMI) mengatakan bahawa walaupun 20 peratus juruteknik automotif telah menerima beberapa bentuk latihan EV, hanya 1 peratus boleh melakukan lebih daripada servis rutin.
Kekurangan kedua-dua bengkel serta tenaga kerja mahir bermakna bengkel francais akan meningkatkan kos pembaikan dan masa menunggu untuk EV sekali gus penambahan kos kepada harga insurans.
Kos insurans serta jaminan lebih tinggi menjadikan pemilikan EV lebih mahal bagi sesiapa yang mempertimbangkan untuk beralih kepada elektrik.
Di samping itu, potensi kekurangan juruteknik meningkatkan lagi tempoh menunggu pembaikan.







