Buletin

PEUGEOT E-3008 DIDEDAHKAN, TAMPIL GAYA BAHARU, TAWAR JARAK GERAK 700KM

Peugeot baru-baru ini mendedahkan gambar rasmi model E-3008 generasi ketiga yang kini berkembang menjadi SUV coupe elektrik sepenuhnya.

Dari luaran, Peugeot E-3008 datang dengan gaya baharu di mana lampu hadapan kelihatan lebih tajam dan terdapat tiga ‘taring’ LED mengapit gril tertutup serta diserlahkan lagi melalui rim aloi futuristik.

Selain itu, apa yang kita boleh lihat ialah bumbung dan tiang disiapkan dalam warna hitam, dengan aksen krom menyerlahkan garis bumbung aerodinamik.

Pembuat kereta Perancis itu turut menunjukkan bahagian dalam E-3008 dan untuk makluman, model ini adalah model pengeluaran pertama memperkenalkan teknologi i-Cockpit Peugeot.

Turut dimuatkan ialah skrin panoramik melengkung 21-inci, gugusan instrumen digital, paparan heads-up serta skrin sentuh di atas stereng berdiameter kecil tradisional.

Bukan itu sahaja, skrin sentuh pada konsol tengah menampilkan pintasan “i-Toggles” di mana ia boleh dikonfigurasikan.

Perincian lain termasuklah dilengkapi  fabrik berkualiti tinggi serta dipadankan bersama pencahayaan ambien, sekali gus melengkapkan suasana futuristik.

Peugeot E-3008 akan menjadi model pertama menggunakan seni bina STLA Medium serba baharu bagi menggantikan platform EMP2.

Walaupun platform STLA direka untuk kenderaan elektrik, tetapi laporan menyatakan bahawa ia juga serasi dengan enjin pembakaran.

Menurut Peugeot, SUV itu tersedia dengan tiga rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya dan menawarkan jarak gerak sehingga 700 km.

Untuk harga, ia dijangka lebih mahal berbanding Peugeot 3008 hibrid ringan dan plug-in.

Pembuat kereta itu berjanji menawarkan pilihan elektrik untuk keseluruhan rangkaian modelnya menjelang 2025, sebelum beralih kepada jenama EV sahaja di Eropah menjelang 2030.

GALERI:

Google ads
Back to top button