Artikel Pilihan

LAGI KES KERETA REMPUH MOTOSIKAL BERTEDUH DI BAWAH JAMBATAN – TIPS ELAK JADI MANGSA

Dengan cuaca yang tidak menentu, hujan sememangnya memberi cabaran tambahan kepada semua pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal.

Jadi, apabila berlaku insiden penunggang motosikal dirempuh kereta ketika berteduh di bawah jambatan, kita tahu bahawa ia memang boleh dielakkan jika semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Semalam, sebuah SUV dan kereta kompak dilapor melanggar kira-kira 12 buah motosikal yang sedang berteduh di bawah jambatan di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan.

Mujur tiada kemalangan jiwa dan hanya seorang penunggang mengalami kecederaan. Tetapi beberapa buah motosikal yang dilanggar dikatakan rosak teruk.

Sedia maklum bahawa ini bukanlah insiden yang pertama kali berlaku. Walaupun sudah banyak kali dilaporkan, kejadian malang seperti ini masih berulang.

Penunggang sebenarnya boleh meminimumkan risiko dilanggar kenderaan ketika berteduh di bawah jambatan.

Di sini, abang Japar berikan beberapa tips berguna yang boleh diamalkan untuk kebaikan bersama.

Penunggang motosikal

1. Cari tempat selamat untuk berteduh atau berhenti

Jangan berhenti secara berbahaya atau ikut suka hati sahaja, tidak kiralah lebat macam mana pun hujan.

Cari tempat yang selamat. Jika memang terpaksa berhenti kerana hujan terlalu lebat, pastikan anda tidak duduk di atas motosikal sambil menunggu hujan reda. Sebaliknya, duduk jauh sedikit dari jalan utama dan di sebalik pehadang jalan.

Sama juga jika anda terpaksa berhenti untuk memakai baju hujan. Lakukannya di tempat yang selamat dan pantas.

2. Inisiatif pihak berwajib

Harus akui bahawa tidak banyak tempat berteduh yang selamat disediakan untuk penunggang motosikal. Jadi, mungkin sudah tiba masanya pihak berkuasa menyediakan lebih banyak lokasi berteduh yang selamat.

Pastikan jarak di antara tempat berteduh adalah jauh dari jalan utama dan mudah diakses oleh penunggang. Ruang itu juga haruslah besar, kalau setakat boleh muat empat atau lima buah motosikal sahaja, baik tak payah.

Letakkan juga papan tanda amaran yang sesuai agar pengguna jalan raya boleh memperlahankan kenderaan apabila menghampiri lokasi tersebut.

3. Beli baju hujan

Sedia maklum bahawa iklim di Malaysia tidak menentu. Jadi, apa salahnya melabur sedikit untuk dapatkan baju hujan yang berkualiti. Kalau boleh dapatkan juga pelapik kasut dan simpan semua itu di dalam ruang penyimpanan motosikal.

4. Teruskan perjalanan

Jika hujan tidak terlalu lebat dan destinasi anda tidak terlalu jauh, teruskan sahaja perjalanan. Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah dapat mengelakkan anda terdedah daripada risiko yang tidak diingini.

Pemandu kereta

1. Perlahankan kenderaan, tingkatkan kepekaan

Apabila hujan, pandangan akan menjadi semakin terhad dan pemandu lain pun akan mula memperlahankan kenderaan masing-masing. Jadi, ambil langkah sewajarnya.

2. Bersabar dan jangan gunakan laluan kecemasan

Walaupun kedengaran cukup senang, tetapi inilah perkara paling sukar untuk dipraktikkan. Semua orang mahu sampai cepat ke destinasi, tetapi memandu laju ketika hujan dan menggunakan laluan kecemasan boleh mengundang risiko yang lebih besar.  

3. Kekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan

Hujan menyebabkan jalan raya menjadi licin, jadi pastikan anda mempunyai jarak yang sesuai kenderaan di hadapan jika terpaksa membrek secara tiba-tiba.

Kalau hendak diikutkan, banyak lagi tips yang boleh diamalkan. Tetapi apa yang abang Japar senaraikan adalah antara asas utamanya.

Apa pun, jadilah pemandu yang berhemah dan sentiasa berhati-hati ketika berada di atas jalan raya. Elakkan diri daripada menjadi sebahagian daripada statistik kemalangan yang kian meningkat saban tahun.

Google ads
Back to top button