Buletin

LAMBORGHINI DAH TAK PEDULI PASAL PECUTAN DAN TOP SPEED

Terima kasih kepada hantaran kuasa tork yang serta-merta, kereta elektrik terus mencatat penanda aras prestasi yang baru. 

EV juga membuatkan angka pecutan 0-100km/j semakin singkat. Sebagai contoh, Tesla Model S Plaid+ yang menggunakan tiga unit motor elektrik mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 1.99 saat. Sementara EV supercars seperti Rimac C_Two dan Pininfarina Battista pula boleh mencatat masa bawah dua saat untuk kelajuan sama. 

Catatan masa yang sebelum ini mustahil dicapai membuatkan pengeluar supercar dan hypercar perlu menilai semula bagaimana prestasi sesebuah kereta diukur. Sewaktu majlis pelancaran Huracan STO, boss Lamborghini Asia Pasifik, Francesco Scardaoni menyatakan pengendalian kini menjadi penanda aras paling penting, bukan lagi pecutan atau top speed. 

Scardoni menyatakan mudah untuk pengeluar kenderaan bercakap besar tentang berapa laju kereta mereka boleh memecut di laluan lurus.

“Jika kita lihat 10 tahun lepas, apabila ditanya apakah parameter untuk mengukur prestasi sesebuah kereta kita mungkin jawab kelajuan, pecutan dan barulah pengendalian. 

“Apa yang membezakan sekarang adalah pengendalian. Ini kerana jika sesebuah kereta mempunyai pecutan yang bagus, tetapi sukar untuk dikendalikan, anda tidak dapat menikmati pemanduan pada kelajuan tinggi. Jadi, kami berpendapat pengendalian perlu menjadi keutamaan pengeluar seperti Lamborghini. 

“Bagi Lamborghini, pengendalian sangat penting dan menjadi parameter utama,” kata Scardoni. 

Menggantikan Huracan Performante, Huracan STO ialah versi kereta lumba Lamborghini Super Trofeo yang boleh dipandu di atas jalan raya biasa. Jentera tersebut dijana oleh enjin V10 bersesaran 5.2 liter dengan kuasa 630hp dan tork 565Nm. 

Ia mampu memecut dari 0-110km/j dalam masa tiga saat. Antara kelebihan yang dimilikinya ialah aerodinamik, penggunaan material ringan secara ekstensif dan maklum balas stereng yang sangat responsif. 

Google ads
Back to top button