Buletin

LAMBORGHINI HURACÁN DAH SAMPAI 10K UNIT – JAUH LAGI NAK LAWAN MYVI

Sebelum ini kami telah laporkan bahawa Perodua berjaya menyerahkan sebanyak 28,000 unit Myvi kepada pelanggan dari 60,000 tempahan keseluruhan. Jumlah tersebut berjaya diraih sejak pelancaran pada November tahun lalu.

Ini pula kisah Lamborghini Huracán. Memang jauh jika hendak dibandingkan dengan Perodua Myvi. Sejak dilancarkan empat tahun lalu, Lamborghini baru sahaja memasang 10,000 unit Huracán pada 13 Mac lepas.

Bayangkan Perodua dalam masa tidak sampai setengah tahun sudah menghantar 28,000 unit Myvi kepada pelanggan.

Tetapi ini adalah perbandingan buah epal dan durian. Memang tidak sama memandangkan harga satu unit Huracán bersamaan berpuluh unit Myvi. 

Satu lagi fakta ialah pasaran kereta eksotik seperti Lamborghini dan Ferrari memang tidak besar, hanya beberapa ribu unit sahaja setiap tahun.

Sebagai contoh, tahun lalu Lamborghini berjaya mencipta rekod jualan sebanyak 3,815 unit dan itu sudah dikira sangat hebat. Dari jumlah tersebut sebanyak 2,642 adalah dari model Huracán.

Model ini memang laris dan kegemaran ramai apabila jualannya meningkat 12 peratus pada tahun lepas berbanding tahun 2016.

Berbalik kepada unit ke 10,000 tadi, model yang dihasilkan adalah Huracán Performante untuk seorang pelanggan di Kanada. Model Performante ini dihasilkan sebagai penghormatan kepada kemenangan Lamborghini GT3 dalam perlumbaan 24 Jam Daytona 2018.

Warna Verde Mantis yang digunakan pada model produksi ini sama seperti model lumba Huracán GT3 nombor 11 yang digunakan pada perlumbaan tersebut Januari lalu.

Sejak dilancarkan pada tahun 2014, Lamborghini telah mengeluarkan enam varian Huracán iaitu varian pacuan dua roda dan empat dalam versi coupé dan Spyder, Huracán Performante dan Performante Spyder.

Selepas ini bermulalah lagi satu episod baharu dalam dunia Lamborghini apabila SUV kedua syarikat iaitu Urus bakal menjengah pasaran. Yang ini mungkin menjadikan Lamborghini sebagai syarikat pengeluar kereta eksotik paling kaya atas muka bumi. 
Google ads
Back to top button