Buletin

LAMBORGHINI HURACAN EVO SPYDER 2020 – RM1.7 JUTA, PENGHANTARAN BERMULA SUKU KETIGA 2019

Bulan lalu, Lamborghini ada memperkenalkan versi baharu model asas supercar keluarannya yang dikenali sebagai Huracan Evo. 

Tampil dengan beberapa gayaan baru, Huracan Evo turut menggunakan enjin aspirasi biasa V10 bersesaran 5.2 liter yang ada pada Huracan Performante.

Enjin yang mampu menjana kuasa sehingga 640hp dan tork 599Nm itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.1 saat. 

Walaupun berat varian Spyder ini bertambah 120kg, namun ia tidak memberi kesan drastik kepada dinamik pemanduannya. 

Menurut Lamborghini, jentera itu mengekalkan keupayaan aerodinamik Huracan Evo.

Sama ada bumbung dibuka atau ditutup, Evo masih mampu menghasilkan downforce dan kecekapan sehingga lima kali ganda seperti Huracan Spyder yang asal. 

Aliran udara di dalam kabin juga telah diminimumkan untuk memberikan ruang yang lebih senyap. 

Sama seperti model coupe, bahagian hadapan Evo Spyder menerima rekaan baharu yang terdiri daripada splitter dan corong pengambilan udara besar. Sementara spoiler di belakang dipasang bagi memberikan aliran udara yang lebih baik . 

Salah satu manfaat bumbung yang boleh dibuka ialah cermin belakangnya boleh diturunkan dan anda boleh mendengar bunyi enjin yang ‘merdu’ itu. 

Huracan Evo Spyder didatangkan dalam warna empat lapisan yang dikenali sebagai Verde Selvans. Program ubah suai Ad Personam Lamborghini juga ada disediakan jika pelanggan berasakan pilihan standard tidak cukup bagus. 

Ditawarkan pada harga bermula AS$287,400 (RM1.7 juta), penghantaran pertama  Huracan Evo Spyder akan bermula pada musim bunga tahun ini. 

Google ads
Back to top button