LAMBORGHINI HURACAN STERRATO – SUPERCAR OFFROAD DENGAN KELAJUAN MAKSIMUM 260 KM/J
Model terakhir Lamborghini yang menggunapakai nadi pembakaran dalaman tulen merupakan sebuah supercar off-road, Huracan Sterrato.
Membezakan model Sterrato dengan Huracan standard sudah pasti jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, kit badan yang disesuaikan untuk kegunaan off-road, kehadiran lampu tambahan, serta sistem Integrated Vehicle Dynamics yang kini menampilkan mod Strada dan Sport yang telah diubah, dan mod baharu Rally.
Disebabkan penambahan kit badan itu tadi, Huracan Sterrato kini menjadi lebih lebar.
Lamborghini turut memasang panel aluminium pada bahagian bawah badan untuk tujuan perlindungan, dan mengalihkan liang kemasukan udara ke bahagian belakang bumbung. Bukan untuk tujuan meredah air, akan tetapi untuk pengambilan udara bersih bebas habuk.
Sistem brek terdiri daripada angkup enam omboh beserta rotor 15 inci, sementara brek belakang pula terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 14 inci.
Keempat-empat sudut dipasangkan rim bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar Bridgestone Dueler AT002.
Dari segi kuasa, Huracan Sterrato mampu menghamburkan kuasa setinggi 602 hp dan 560 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 260 km/j.
Ruang kabin pula mendapat kemasan upholsteri Verde Sterrato Alcantra, grafik baharu pada skrin sentuh, serta paparan spesifik off-road seperti inclinometer, indikasi pitch and roll, sudut stereng dan bermacam lagi.
Produksi Lamborghini Huracan Sterrato dihadkan kepada 1,499 unit sahaja, dan bakal bermula Februari 2023.