
LAMPU KERETA MODEN MEMANG CANGGIH TETAPI TAHUKAH ANDA BERAPA KOSNYA?
Tidak dinafikan kita sekarang ini berada dalam era di mana kereta dilengkapi teknologi serba canggih. Bila ada kecemasan kereta boleh brek sendiri, bila hujan penggilap cermin automatik dihidupkan dan bila gelap lampu terus menyala tanpa bantuan pemandu.
Menyentuh tentang lampu kereta hari ini, bukan sahaja boleh dihidupkan dan dilaras secara automatik malah lebih terang dan selamat dengan sinaran LED. Jika itu tidak memadai ada kereta mewah sekarang ini menggunakan teknologi laser pula.
Memang cantik, canggih dan seronok apabila bermain dengan teknologi seperti ini. Tetapi masalahnya sekarang berapa pula kos untuk ditanggung jika rosak atau kemalangan? Tambahan pula jika berlanggar secara berdepan, bahagian lampu yang kerap terjejas.
Di United Kingdom, syarikat media automotif What Car? telah menjalankan kajian terhadap kos untuk lampu yang digunakan oleh pengeluar sekarang ini.
Jawapannya… memang mahal dan tidak dinafikan masih ada yang murah kerana menggunakan teknologi konvensional.
What Car? telah membuat satu kajian terhadap 13 model popular dan harga lampu tersebut bergantung kepada jenis sama ada halogen, HID atau LED.
Dalam kajian yang dibuat, empat model kereta dilengkapi lampu High Intensity Discharge (HID) dan tiga model jenis LED.
Satu fakta yang harus diketahui ialah lampu HID dan LED jauh lebih terang dan tahan sepuluh kali ganda daripada lampu halogen cuma satu isu ialah kos penggantian boleh mencecah GBP 1,000 (RM 5,423).
Harga yang tinggi tersebut berpunca daripada teknologi HID dan LED yang rumit dan pengeluar telah beralih kepada lampu jenis set di mana pengguna tidak lagi boleh menggantikan mentol didalamnya (lampu jenis sealed).
Jika ada bahagian yang rosak, satu lampu terus perlu diganti. Sebagai contoh, kos untuk menggantikan mentol halogen untuk Volkswagen Polo biasa ialah GBP 18 (RM97.6). Tetapi jika anda memiliki VW Polo GTI, kos untuk mengantikan lampu LED yang rosak ialah GBP 846! (RM4,588)
Isu yang sama turut dihadapi pengguna kereta Jepun seperti Suzuki Swift. Model varian biasa hanya memerlukan GBP 4 (RM21.6) untuk gantian mentol dan ia terus meningkat beratus kali ganda jika anda memiliki Swift dengan lampu HID iaitu GBP 684! (RM 3,709)
Untuk lampu yang boleh dibuka kelongsongnya, harga mentol LED tetap mahal berbanding halogen. Sebagai contoh mentol HID untuk Vauxhall Corsa berharga GBP 317 (RM1,719) manakala varian lebih rendah dengan mentol halogen hanya GBP 17 (RM92).
Model Audi A1 SE pula hanya dikenakan GBP 18 (RM97.6) untuk mentol halogen manakala varian S-Line Nav dengan mentol HID dan unit kawalan pula berharga GBP 211 (RM1,144).
Gerun bukan tengok kos lampu yang canggih dan moden? Tetapi biasanya lama-kelamaan harga akan turun juga selari dengan penawaran dalam pasaran. Atau paling biasa pun beli dari kedai potong.
Cuma satu perkara ialah apabila terlibat dalam kemalangan dan lampu canggih anda pecah, eloklah laporkan kepada polis untuk membuat tuntutan insurans.
Rasanya sudah tidak sesuai lagi untuk runding tepi dengan individu yang melanggar sebab lampu sekarang memang mahal dan cecah ribuan ringgit!
BACA: ANUGERAH KERETA TERPAKAI TERBAIK PUN ADA DAN MERCEDES-BENZ MENANG BESAR
BACA: #6 PERKARA PENTING SEBELUM ANDA BUAT KEPUTUSAN BELI KERETA TERPAKAI
*1 GBP = 5.42346 MYR