Motosikal

KONVOI DI BANDUNG, JOKOWI PAKAI JAKET BUBUR AYAM RACER – KEREN BANGET SIH!

Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi memang seorang yang meminati motosikal.

Jadi, sebagai salah satu cara untuk mendekati rakyat Indonesia, Jokowi tidak kekok untuk menunggang motosikal dan menyertai acara konvoi di sana. Terbaru, Jokowi dilapor turut serta dalam konvoi sejauh 3.2 kilometer di Bandung, Jawa Barat.

Konvoi tersebut memulakan perjalanan dari Simpang Merdeka, Jalan Aceh sebelum berakhir di Jalan Braga.

Menunggang sebuah Kawasaki W175 berwarna hijau, Jokowi ditemani oleh Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil dan sekumpulan penunggang tempatan.

Apa yang menarik perhatian ramai ialah jaket yang dipakai oleh Jokowi. Jaket hasil kolaborasi di antara jenama tempatan, Rawtype-Riot dan penggiat komuniti bermotosikal, Den Dimas itu diberi oleh anak sulungnya, Gibran Rakabuming.

“Tak sangka Pak Jokowi memakai jaket Bubur Ayam Racer. Terima kasih atas sokongan beliau kepada jenama tempatan. Saya seperti tidak percaya ini benar-benar terjadi,” kata Den Dimas dalam satu hantaran di laman Instagram miliknya.   

Melihat secara dekat, jaket berwarna hitam itu menggunakan kain baldu. Pada bahagian dada kiri terdapat gambar rida dan bendera perlumbaan. Sementara bahagian belakang terdapat satu gambar ayam bersama tulisan “Bubur Ayam Racer”.

Selepas dipakai oleh Jokowi, jaket yang ditawarkan pada harga sekitar 1.45 juta rupiah (RM412) dalam saiz L dan XL habis dijual.

Jaket itu nampaknya terus dipakai oleh Jokowi ketika menghadiri satu majlis rasmi.

Selepas tamat konvoi, Jokowi mengambil kesempatan melawat pameran perniagaan di Jalan Braga, Bandung. Beliau juga menikmati muzik yang dimainkan oleh pemuzik jalanan.

Menurut laporan detik.com, ada antara mereka yang mengalunkan lagu Bohemian Rhapsody daripada Queen dan lagu Enter Sandman, Metallica.

Kalau abang Japar buat jaket Bubur Lambuk Racer, ada ke pak menteri nak pakai nanti?

Tags
Google ads
Back to top button