Buletin

DI UK PUN TAWAR DISKAUN KERETA, ADA YANG SAMPAI 24%

Diskaun pembelian kereta sudah menjadi amalan pengedar kenderaan bagi menarik perhatian pelanggan. Amalan tersebut juga telah membentuk satu kecenderungan buat pelanggan dalam menunggu masa yang sesuai bagi membuat pembelian.

Lazimnya diskaun pembelian ditawarkan semasa musim perayaan atau penghujung tahun. Ada juga diskaun yang dibuat setiap bulan bagi menaikkan jualan.

Walau bagaimanapun amalan ini ada kebaikan dan keburukannya, satu yang positif ialah kereta menjadi lebih mampu milik manakala negatifnya ialah diskaun dalam jumlah yang besar dan berterusan akan menjejaskan nilai kereta sedia ada dan harga terpakai.

Disebabkan ini juga syarikat pengedar tempatan mula menukar kaedah diskaun kepada insentif pembelian seperti petrol, servis dan pelbagai lagi tawaran percuma.

Itu senario di pasaran tempatan, bagaimana pula dengan negara maju seperti di United Kingdom?

Pertama sekali terdapat kecenderungan segelintir pengguna untuk membandingkan harga kereta pasaran tempatan dengan pasaran UK.

Hakikatnya ialah walaupun harga kereta jika dinilai satu kepada satu di UK lebih murah berbanding pasaran tempatan, pengguna harus melihat daripada skop yang lebih besar seperti cukai individu, kos pemilikan serta penyelenggaraan dan sebagainya.

Satu lagi fakta ialah meskipun harga di UK mampu milik jika dibanding dengan pendapatan tidak bermakna mudah untuk menjual.

Sebagai contoh data terkini untuk bulan Mei bagi pasaran kereta baharu di UK telah jatuh sebanyak 3.1 peratus untuk tahun ini dengan pendaftaran persendirian menurun sebanyak 2.9 peratus manakala pendaftaran perniagaan pula jauh lebih banyak iaitu 39.8 peratus.

Data tersebut diperolehi daripada Society of Motor Manufacturers and Traders (SMMT) UK.

Whatcar? yang merupakan penerbitan dan laman web pembelian kereta utama di UK pula pergi lebih jauh dengan meneliti tawaran diskaun yang diberikan kepada pengguna.

Kajian oleh What Car? mendapati pengedar kenderaan telah meningkatkan diskaun kereta sehingga lebih sepuluh peratus sejak Februari bagi mengekalkan jualan.

Tindakan itu bersamaan dengan penjimatan berjumlah £16.8 juta (RM88.99 juta) daripada harga yang disenaraikan pengeluar.

Hasil daripada analisa kereta baharu di UK melalui program What Car? Target Price mystery shoppers mendapati purata diskaun untuk kereta baharu pada penghujung Mei ialah sebanyak £2,595 (RM13,746) atau 7.9 peratus daripada harga purata yang disenaraikan.

Menurut Pengarah Urusan What Car?, Rachael Prasher, Pengedar memberikan diskaun yang besar sebagai cara untuk menangani prestasi jualan menurun. Ini juga bukan jualan panik tetapi adalah prinsip asas ekonomi yang berdasarkan penawaran dan permintaan bagi mengekalkan jualan.

Mengikut jenama, Citroen menawarkan diskaun tunai terbaik untuk kenderaannya sebanyak 12.8 peratus daripada senaraian harga. Pengedar Volkswagen dan Seat pula di tempat kedua masing-masing pada 11.5 peratus dan 11 peratus.

Dari segi segmen, wagon, MPV dan kereta mewah ditawarkan diskaun tunai tertinggi pada kadar 10.3 peratus merentasi segmen manakala SUV, hot hatch dan kereta sport kesemuanya di bawah enam peratus.

Menurut Rachael Prasher lagi pengeluar menggunakan strategi taktikal dengan menawarkan diskaun tunai besar untuk kenderaan yang kurang permintaan dan mengekalkan harga stabil untuk segmen popular dan prestasi jualan baik.

Berikut ialah sepuluh model dengan jumlah diskaun tertinggi di UK:

Jenama dan model

Diskaun               

Volkswagen Passat 1.5 TSI EVO 150 S sedan 24.6%
Vauxhall Astra 1.0T ecoTEC SRi 5 pintu hatchback 21.8%
Mercedes SL 400 AMG Line Premium 9G-Tronic 21.3%
Vauxhall Mokka X 1.4T ecoTEC Elite 21.0%
Volkswagen Touran 1.6 TDI 115 S 20.0%
Vauxhall Corsa 1.4 [75] Energy 3 pintu [AC] 19.9%
Nissan Juke 19.5%
Seat Leon 1.5 TSI EVO SE 5 pintu hatchback 18.6%
Volkswagen Sharan 2.0 TDI SCR 150 SE Nav 17.5%
Suzuki Baleno 1.0 Boosterjet SZ-T 17.3%

*GBP 1 = RM5.30

Google ads
Back to top button