Buletin

RM100 BILION – JUMLAH MINIMUM MANFAAT KEPADA PEMINJAM BANK

Dalam menghadapi dan menangani Covid-19, kerajaan di serata dunia tidak hanya menumpukan perhatian kepada wabak itu sahaja tetapi juga impak kepada ekonomi.

Contoh di depan mata apabila ramai berada di rumah dan tidak keluar bekerja. Impak juga dirasai oleh para peniaga sama ada besar, kecil dan mikro.

Dengan itu ramai gusar memikirkan tanggungan dan komitmen kewangan dan pada masa ini kerajaan perlu bertindak.

Serentak dengan itu, kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah yang dapat membantu masyarakat secara umum seperti:

  1. Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama enam bulan. Nilai kutipan terlibat ialah RM750 juta. Dijangka beri manfaat kepada kira-kira 1.5 juta peminjam.
  2. Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran MARA selama tiga bulan dan enam bulan untuk pembiayaan perniagaan.
  3. Pengeluaran Akaun 2 KWSP dengan jumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan (Maksimum RM6,000).
  4. Lanjut tempoh kepada orang ramai untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) sehingga Jun 2020.
  5. Penangguhan bayaran balik pinjaman (moratorium) bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat dengan jumlah manfaat bernilai sekurang-kurangnya RM100 bilion kepada peminjam.

Berdasarkan senarai umum tersebut impak terbesar dilihat pada penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan.

Pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan pula boleh menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.

Berikut pula impak yang dijangka kepada peminjam susulan langkah yang diumumkan kerajaan:

  1. Ansuran pinjaman kereta boleh ditangguhkan sehingga enam bulan.
  2. Ansuran pinjaman perumahan boleh ditangguhkan sehingga enam bulan.
  3. Ansuran pinjaman peribadi boleh ditangguhkan sehingga enam bulan.
  4. Ansuran pinjaman pelajaran PTPTN ditangguhkan sehingga enam bulan dan tiga bulan untuk MARA.
  5. Tambahan tunai sehingga RM500 sebulan dari pengeluaran Akaun 2 KWSP.

Secara keseluruhannya langkah-langkah tersebut dijangka meningkatkan kecairan di kalangan rakyat atau dalam erti kata lain duit tunai akan bertambah secara berganda bagi setiap individu dan isi rumah.

Kebanyakan komitmen individu dan isi rumah adalah pada pinjaman perumahan, kenderaan dan pinjaman pelajaran.

Berikut ialah anggaran nilai tambahan tunai isi rumah jika peminjam menangguhkan bayaran bulanan:

  1. Ansuran kereta suami dan isteri: RM1200.00
  2. Ansuran rumah: RM2000.00
  3. Akaun 2 KWSP: RM500.00

Jumlah tambahan tunai setiap bulan: RM3700.00

Senario atau model kewangan di atas bagaimanapun adalah anggaran sahaja dan bergantung kepada komitmen individu dan isi rumah.

Para peniaga pula dapat meringankan kos operasi dan overhed seperti premis, kenderaan dan sebagainya bagi memastikan kemampuan dalam terus mengekalkan pekerja. 

Bagaimanapun harus diingat bahawa kelonggaran yang diberikan adalah penangguhan dan bukan penghapusan hutang. 

Ini bermakna setiap peminjam perlu menyambung semula bayaran selepas tamat tempoh penangguhan dan tempoh pembiayaan anda juga akan bertambah.

Simpanan Akaun 2 KWSP juga akan berkurangan mengikut kadar yang dikeluarkan pencarum.

Secara kesimpulannya, langkah yang diambil kerajaan ini dapat membantu meringankan beban rakyat dan sementara itu baik untuk kita membuat pertimbangan yang wajar dalam mengurus kewangan.

Antara yang boleh dipertimbangkan ialah menambah rizab simpanan keluarga atau melunaskan hutang peribadi dengan rakan dan individu terdekat.

Kredit foto BNM: Kaihsu Tai / CC BY-SA 

Google ads
Back to top button