Artikel Pilihan

LE MANS 1955, KEMALANGAN PALING NGERI DALAM SEJARAH PERLUMBAAN

Le Mans atau perlumbaan 24 Jam Endurance tak sama dengan perlumbaan yang lain. Ia sebenarnya direka supaya komponen mekanikal jentera perlumbaan dan mental pelumba boleh berlumba selama 24 jam. Ia bukan perlumbaan pecut siapa paling pantas, tapi perlumbaan ujian ketahanan atau long distance.

Jika F1 boleh diibaratkan sebagai larian pecut 100 meter, Le Mans adalah perlumbaan marathon 42.195km. Tapi disebalik kemeriahan dan imej prestij yang dibawa oleh Perlumbaan Le Mans 24 jam, ia juga menyimpan satu cerita duka dengan kematian 84 penonton dan mencederakan 178 yang lain. Kejadian ini berlaku pada 11 Jun 1955.

Perlumbaan pada tahun 1955 bermula dengan perseteruan yang cukup mengujakan antara pasukan Jaguar, Mercedes Benz, dan juga Ferrari dimana ketiga-tiga pasukan ini pernah memenangi Le Mans pada tahun sebelumnya. Kemalangan berlaku pada pukul 6.26 pm pada pusingan ke 35

Ketika itu jentera Jaguar dipandu oleh Mike Hawthorn baru sahaja memintas jentera Austin Healy yang dipandu oleh Lance McKlin. Namun Mike bukan berlumba dengan McKlin, tapi berlumba dengan Pierre Leveigh dari pasukan Mercedes Benz. Malah ketika kejadian, Mike baru sahaja memintas Pierre sebelum merancang untuk masuk ke pit

Pasukan Jaguar telah memberi isyarat kepada Mike bagi memasuki pit pada pusingan 34 lagi. Sebaik sahaja menghampiri kawasan pit, Mike yang ketika itu berlumba dengan Pierre tergesa-gesa memasuki pit dengan memotong McKlin. Walaupun telah memberi isyarat tangan pada McKlin, jentera Jaguar yang ketika itu menggunakan brek cakera memiliki kuasa brek yang kuat

Lebih kuat daripada brek dram yang digunakan oleh pasukan lain termasuklah McKlin. Bagi mengelakkan McKlin melanggar Mike, dia terpaksa mengelak ke kiri tanpa menyedari Pierre berada di belakangnya pada halaju 200km/j. Gagal mengelak jentera Austin, Pierre melanggar belakang McKlin dan melayang di udara.

Kereta McKlin bertindak bagaikan ramp yang menyebabkan jentera Mercedes Pierre melayang dan mendarat sejauh 80 meter di udara sebelum mendarat di kawasan penonton. Situasi ini menyebabkan:

1. Pierre terhempas ke permukaan litar, dengan mengalami keretakan serius pada kepala dan mati serta merta

2. penutup hud depan Mercedes melayang dan memotong beberapa kepala penonton di laluannya

3. Blok enjin, radiator dan komponen suspensi depan terlerai daripada cesi dan menghentam penonton di laluan, 100 meter dari lokasi kemalangan

4. Cesi Mercedes dibuat dengan campuran magnesium. Apabila cesi terhempas, tangki bahan api mengalami kebocoran dan terbakar. Kebakaran ini menyebabkan cesi magnesium terbakar menjadi percikan putih dan mencederakan penonton yang lain

Juan Manuel Fangio berjaya mengelakkan jentera McKlin selepas menerima isyarat tangan Pierre sejurus sebelum kemalangan berlaku, McKlin melanggar seorang jurugambar dan polis sebelum melanggar tembok, dan Mike langsung tidak cedera.

Siasatan yang dilakukan oleh suruhanjaya mendapati Mike bukanlah penyebab kemalangan walaupun ia dicabar oleh McKlin. Suruhanjaya mendapati laluan ke pit tidak mempunyai kawasan khas untuk nyahpecutan atau kawasan brek khas selain ia terlindung dengan selekoh.

Selepas kemalangan ini terjadi, aspek keselamatan perlumbaan telah ditambah baik secara keseluruhannya termasuklah:

1. Switzerland telah melarang semua aktiviti sukan permotoran sehingga hari ini. Hanya perlumbaan Formula E sahaja dibenarkan di Switzerland

2. Walaupun mendahului perlumbaan, Mercedes menarik diri dari Le Mans bagi menghormati mangsa kemalangan dan menjaga reputasi jenama mereka. Mulai tahun 1955, Mercedes menghentikan semua aktiviti perlumbaan dan hanya menyertai perlumbaan mulai tahun 1987 dan F1 pada 1994

3. Wakil pasukan Mercedes mengajak pasukan Jaguar menarik diri agar menghormati mangsa kemalangan, namun wakil Jaguar enggan berbuat demikian. Disebabkan tiada cabaran daripada Mercedes dan jentera Ferrari telah rosak, Jaguar dinobatkan juara pada tahun 1955.

4. Selekoh yang berdekatan dengan laluan masuk ke pit telah diluruskan serta dilebarkan bagi memudahkan semua jentera untuk membrek sebelum masuk ke kawasan pit. Kompleks pit yang baru dan lebih selamat dibina semula di kawasan yang sama

5. Kawasan penonton atau Grandstand yang baru dibina dengan lebih teratur dan selamat. Satu parit yang besar dibina antara Grandstand dan litar bagi tujuan keselamatan

6. John Fitch iaitu rakan sepasukan Pierre Levegh yang terkesan dengan kematian Pierre menubuhkan satu syarikat Impact Attenuation Inc. bagi menghasilkan Fitch Barrier dan Fitch Compression Barrier yang banyak digunakan di lebuh raya serta litar. Rekaan ini dikatakan telah menyelamatkan sehingga 17,000 nyawa.

7. Walaupun John Fitch, McKlin dan beberapa saksi menyatakan punca kemalangan adalah disebabkan Mike Hawthorn namun ia dinafikan oleh Mike. Malah Jaguar menuduh Pierre tidak layak dan tidak mahir untuk memandu jentera Mercedes.

Mike meninggal pada tahun 1959, selepas kereta Jaguar miliknya terbabas ketika cuba memotong Mercedes di jalanraya akibat memandu dengan melulu.

Kejadian ini sebenarnya telah merubah pandangan masyarakat antarabangsa berkenaan isu keselamatan sukan permotoran di seluruh dunia bagi menjadikan sukan lumba permotoran semakin selamat setiap tahun.

Google ads
Back to top button