
LEAPMOTOR BAKAL LANCAR HOT HATCH ELEKTRIK B05 ULTRA TAHUN DEPAN
Leapmotor kini memperkenalkan model sport elektrik pertamanya, B05 Ultra, versi berprestasi tinggi kepada hatchback B05 yang sebelum ini tampil di Munich Motor Show 2025.
Di pasaran China, model ini dikenali sebagai Lafa 5 Ultra dan dijangka memasuki pasaran domestik pada separuh pertama tahun 2026.
Menurut Naib Presiden Kanan Leapmotor, Cao Li, pembangunan B05 Ultra dijalankan dengan tumpuan khusus kepada pemandu muda yang mengutamakan gaya serta prestasi.

Menariknya, sekitar 70 peratus tempahan awal bagi model standard dibuat oleh pelanggan berusia bawah 35 tahun, bukti jelas daya tarikan jenama ini terhadap generasi baharu pengguna EV.
Walaupun spesifikasi teknikal penuh masih belum didedahkan, B05 Ultra akan menampilkan pelbagai peningkatan luaran yang ketara.
Ini termasuk pakej aerodinamik khas dengan rekaan bampar hadapan lebih agresif, penyebar belakang (diffuser) yang besar, serta spoiler belakang baharu untuk kestabilan tambahan.

Model ini turut menerima kemasan hitam berkilat dan rim aloi 19-inci, sementara bahagian hadapan, diffuser dan spoiler bagi versi Ultra direka semula bagi memberikan identiti yang lebih garang serta prestasi aerodinamik lebih baik.
Bahagian dalaman masih dirahsiakan, namun Cao mendedahkan penggunaan bahan seperti suede bagi menonjolkan suasana sporty. Beliau turut menegaskan setiap elemen rekaan mempunyai fungsi tersendiri dan bukan sekadar hiasan.
Dari segi kejuruteraan, pasukan Eropah Stellantis dikatakan memainkan peranan penting dalam talaan casis bagi memastikan agihan berat 50:50, sekali gus meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

Pemerhati industri menjangkakan model ini bakal hadir dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dua motor, walaupun Leapmotor masih belum mengesahkannya.
Dibina berasaskan platform modular LEAP 3.5, Lafa 5 Ultra akan menjadi hatchback elektrik paling dinamik dalam barisan model Leapmotor setakat ini.
Setelah dilancarkan, model ini bakal bersaing dalam segmen hatchback elektrik kompak bersama BYD Dolphin, Geely Geome Xingyuan dan MG4, menjadikan persaingan EV kecil berprestasi tinggi semakin menarik di pasaran China.
- BACA: BYD SIME MOTORS SERAH LEBIH 100 UNIT BYD SEAL 6 DALAM TEMPOH SEMINGGU
- BACA: KEJOHANAN GOLF AMAL MAZDA KE-11 PERKUKUH USAHA KEBAJIKAN, BERJAYA KUMPUL RM1.4 JUTA
- BACA: PERJALANAN REKOD DUNIA ID. BUZZ OLEH RAINER ZIETLOW KINI SINGGAH DI MALAYSIA
- BACA: 174 PELUMBA JENTERA 4X4 BERKAMPUNG UNTUK DUA HARI PERLUMBAAN DI HULU TERENGGANU


