Buletin

LEAPMOTOR C10 DIPERKENALKAN – BATERI 69.9KWH, JANA 231HP, JARAK GERAK 420KM

Jenama EV dari Stellantis, Leapmotor hari ini secara rasmi memperkenalkan Leapmotor C10 untuk pasaran tempatan dan dijangka dilancarkan pada bulan Oktober 2024.

Dari segi dimensi, Leapmotor C10 mempunyai ukuran 4,739mm panjang, 1,900mm lebar, 1,680mm tinggi dan jarak roda diletakkan pada 2,285mm.

Leapmotor C10, sebuah SUV elektrik yang mengutamakan keselesaan dan keselamatan keluarga, menampilkan reka bentuk kabin minimalis serta dilengkapi dengan teknologi terkini.

Salah satu ciri utama model ini adalah penggunaan dua skrin terapung untuk paparan infotainmen dan kluster instrumen digital, masing-masing berukuran 14.6-inci dan 10-inci.

Pendekatan minimalis ini turut dapat dilihat melalui kemasan dalaman menggunakan material Oeke Tex, hadir dalam pilihan warna tan atau kelabu gelap.

Material ini dikatakan kalis air dan telah diuji selamat untuk kanak-kanak oleh ahli dermatologi, selaras dengan konsep mesra keluarga yang dibawa oleh C10.

Selain daripada rekaan dalaman yang praktikal, Leapmotor C10 turut dilengkapi dengan pelbagai ciri premium. Antaranya ialah roda 20-inci, lampu hadapan dan belakang penuh lebar, serta lampu ambien untuk menambah suasana kabin.

Kelengkapan lain termasuklah pad pengecas tanpa wayar, kerusi hadapan dengan ventilasi dan pemanas, serta bumbung kaca panorama yang besar dengan langsir elektrik turut melengkapkan pengalaman pemanduan.

Dari segi spesifikasi, tiada pendedahan dibuat setakat ini dan untuk pasaran China, model ini ditawarkan dengan jarak gerak WLTP sejauh 420km, dijana oleh bateri LFP berkapasiti 69.9kWh.

Jika syarikat itu mengekalkan tetapan yang sama seperti varian di China, C10 untuk pasaran tempatan akan menampilkan motor elektrik berkuasa 231hp dipasang di belakang, menghasilkan tork 320Nm.

Ia membolehkan EV memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 7.29 saat dan kelajuan tertinggi dihadkan pada 170km/j.

Untuk harga pula, ia hanya akan didedahkan pada pelancaran yang dijangka berlangsung bulan hadapan.

Di China, C10 dengan bateri 69.9kWj dijual dengan tanda harga bermula RM90,903 hingga RM109,420.

Setibanya C10 di pasaran Malaysia, C10 akan menjadi pesaing sengit kepada BYD Atto 3, Chery Omoda E5, Neta X, dan GAC Aion Y Plus.

GALERI:

Google ads
Back to top button