
CFLITE DUAL 230 BAKAL MASUK MALAYSIA?
Baru-baru ini CFMOTO Malaysia telah pun memperkenalkan CFLite 250NK untuk pasaran tempatan dengan harga jualan hanya RM9,888.
CFLite merupakan sub-brand terbaru dari CFMOTO yang menawarkan barisan model yang lebih mampu milik.
Selepas pelancaran CFLite 250NK kami dimaklumkan bahawa pihak CFMOTO Malaysia turut sedang pertimbangkan untuk memperkenalkan CFLite Dual 230 untuk pasaran tempatan.
Berbeza dengan 250NK yang hadir dengan reka bentuk motosikal ‘naked’, Dual 230 pula bercirikan motosikal lasak dan versatil.
Menggerakan Dual 230 adalah unit satu silinder 223cc dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 14hp pada 7,000rpm. Namun, Dual 230 ini masih lagi menggunakan karburator.
Kelengkapan lain ditawarkan termasuk tangki bahan api berkapasiti 12L, cakera brek depan dan belakang, panel meter digital LCD, serta pencahayaan halogen.
Memandangkan CFLite merupakan divisyen yang lebih mampu milik maka penggunaan lampu halogen, karburator, fork teleskopik dan meter LCD digital adalah relevan.
Untuk rekod, CFLite Dual 230 ini telah pun dipasarkan di pasaran Filipina, April lalu, dengan harga jualan hanya PHP99,000 (RM7.6k) sahaja.