
GAGAL BERSAMA HONDA, NISSAN ‘DEAL’ DENGAN TOYOTA PULA?!
Pada 23 Disember 2024, Nissan dan Honda mengumumkan satu memorandum persefahaman (MoU) untuk meneliti kemungkinan bergabung.
Namun, tempoh perbincangan antara dua pengeluar kenderaan utama Jepun itu tidak bertahan lama. Pada 13 Februari 2025, kedua-dua pihak mengesahkan bahawa rundingan telah dihentikan, dengan laporan menyebut antara sebabnya adalah keengganan Nissan untuk berada di bawah payung Honda sebagai anak syarikat.
Walaupun perbincangan penggabungan penuh telah dihentikan, Nissan dan Honda dilaporkan masih bekerjasama dalam bidang elektrifikasi dan pembangunan perisian. Namun, impian membentuk satu entiti automotif gergasi dari Jepun kini sudah terkubur.
Menariknya, sebelum kegagalan penggabungan ini diumumkan, Pengerusi Toyota, Akio Toyoda, semasa acara CES pada Januari lalu, berkata bahawa Nissan tidak pernah mendekati Toyota untuk cadangan penggabungan besar-besaran.

Toyoda turut menambah bahawa penggabungan sebesar itu mungkin tidak akan berlaku memandangkan ia berpotensi melanggar undang-undang antimonopoli.
Namun kini, laporan dari akhbar Jepun Mainichi Shimbun, seperti dilaporkan oleh Automotive News, mendedahkan bahawa selepas kegagalan rundingan dengan Honda, wakil Toyota dikatakan telah menghubungi Nissan untuk membincangkan bentuk kerjasama lain.
Buat masa ini, Nissan enggan mengulas, manakala Toyota sedang meneliti laporan tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Sebagai peneraju global industri automotif untuk lima tahun berturut-turut, Toyota memang sudah mempunyai pegangan dalam beberapa syarikat automotif Jepun lain, termasuk 20 peratus dalam Subaru, 5.1 peratus dalam Mazda, 4.9 peratus dalam Suzuki, dan 5.9 peratus dalam Isuzu.
Sekiranya Toyota dan Nissan bertukar pegangan saham, tentunya situasi itu akan menjadi lebih kompleks.
Toyoda pernah melahirkan rasa kecewa terhadap pengumuman MoU antara Nissan dan Honda sebelum ini yang dilihat tidak cukup fokus kepada produk, sebaliknya dipenuhi dengan istilah korporat seperti “penyepaduan perniagaan” dan “sinergi,” serta matlamat umum untuk menjadikan Jepun sebagai “pemimpin mobiliti global.”
Sejak itu, Nissan telah mula membetulkan haluan dengan mengumumkan pelancaran barisan model baharu di semua pasaran utama.
Mereka juga bergantung kepada kerjasama sedia ada dengan Renault dan Mitsubishi untuk mempercepatkan pembangunan model menerusi pendekatan ‘badge engineering’.
Hubungan strategik Nissan dengan Dongfeng dari China juga semakin rapat, terbukti melalui model sedan elektrik N7 dan trak pikap plug-in hybrid Frontier Pro.
Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Ivan Espinosa, menyatakan syarikat masih terbuka kepada kerjasama baharu, namun buat masa ini fokus utama adalah untuk menstabilkan kedudukan dalaman.
Pelan pemulihan ‘Re:Nissan’ melibatkan langkah penjimatan besar termasuk pengurangan 20,000 pekerjaan, penutupan tujuh kilang, pengurangan ketara dalam perbelanjaan R&D, penghapusan 70 peratus kerumitan komponen, serta penamatan enam platform kenderaan.
Walaupun begitu, Nissan tetap komited terhadap pelaburan dalam jenama mewah Infiniti.
Espinosa turut menyebut bahawa masalah sebenar bermula seawal 2015 semasa Carlos Ghosn masih memimpin, apabila syarikat terlalu agresif berbelanja demi mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak lapan juta unit.
Namun, pada tahun fiskal 2024 (1 April 2024 hingga 31 Mac 2025), jumlah jualan Nissan hanya mencapai 3.3 juta unit.
Ghosn pula, dalam kenyataannya baru-baru ini, menyifatkan keadaan Nissan kini sebagai “terdesak,” malah mendakwa Honda sebenarnya merancang “pengambilalihan terselindung.”
Walaupun rancangan penggabungan tidak diteruskan, kedua-dua syarikat masih dikatakan sedang bekerjasama dalam teknologi kenderaan pintar dan elektrifikasi.