Buletin

MITSUBISHI XPANDER FACELIFT 2025 DILANCAR DI INDONESIA – RIM BAHARU, PAPARAN 10-INCI, HARGA BERMULA RM79K

Mitsubishi akhirnya melancarkan versi facelift 2025 bagi model popular mereka, Xpander di Indonesia. Xpander kali ini hadir dengan pelbagai peningkatan yang bukan sekadar kosmetik tetapi juga dari segi keselesaan, teknologi serta keselamatan.

Wajah Xpander 2025 kini tampil lebih agresif dengan rekaan bampar hadapan baharu yang kekal membawa DNA Dynamic Shield, namun dengan garisan lebih tajam dan kemas.

Gril hadapan kini lebih serasi dengan lampu utama, memberikan kesan visual yang lebih mewah. Aksen krom disusun rapi di bahagian muka, memperkuat karakter premium sambil menambah keyakinan ketika dipandu.

Bahagian belakang juga menerima sentuhan segar, di mana bamparnya kini lebih tebal dengan garis mendatar yang menonjolkan lebar kenderaan, sementara, lampu LED belakang berbentuk “T” masih dikekalkan.

Satu lagi elemen menarik ialah penggunaan rim vleg 17-inci rekaan dua tona baharu. Corak bilah yang lebih sporty memberikan penampilan lebih Garang. Rim yang lebih besar ini juga membantu dalam aspek kestabilan pemanduan.

Masuk ke dalam kabin, varian Xpander Ultimate menerima skema warna dalaman serba hitam yang menggantikan kombinasi cerah sebelum ini.

Warna gelap ini bukan sahaja memberi sentuhan premium, tetapi juga lebih tahan kotor dan tampil sporty.

Satu lonjakan utama dalam aspek teknologi ialah penggunaan paparan digital sepenuhnya bagi kluster meter.

Skrin TFT penuh warna ini bukan sahaja tajam dan mudah dibaca, malah boleh disesuaikan mengikut kehendak pemandu. Ia memaparkan info penting seperti tahap penggunaan bahan api, jarak perjalanan, dan status sistem keselamatan secara jelas.

Turut disertakan ialah sistem hiburan dengan skrin sentuh bersaiz 10-inci, iaitu lebih besar, lebih responsif, dan kini menyokong Apple CarPlay serta Android Auto. Fungsi ini amat berguna untuk navigasi dan kamera undur, selain hiburan untuk penumpang sewaktu perjalanan jauh.

Dalam aspek keselamatan, Mitsubishi kini memperkenalkan enam beg udara pada varian Ultimate. Ia meliputi perlindungan hadapan, sisi, dan tirai bagi memberikan keselamatan maksimum kepada semua penumpang.

Ciri ini biasanya ditawarkan pada model lebih mahal, menjadikan kehadirannya dalam Xpander satu langkah besar dalam segmen MPV.

Di sebalik penambahbaikan kosmetik dan teknologi, Xpander masih menggunakan enjin 1.5L MIVEC NA empat silinder yang menghasilkan 105PS dan tork 141Nm.

Transmisi CVT terus digunakan bagi pemanduan lancar ke roda hadapan. Namun, satu tambahan penting ialah sistem Active Yaw Control (AYC), teknologi yang sebelum ini ada pada XForce bagi meningkatkan kawalan dan kestabilan sewaktu mengambil selekoh.

Harga Rasmi Xpander Facelift 2025 di Indonesia adalah seperti berikut:

  • Xpander Ultimate CVT – Rp 337.800.000 (RM99,500)
  • Xpander Ultimate MT – Rp 322.500.000 (RM94,900)
  • Xpander Exceed Tourer CVT – Rp 297.900.000 (RM87,800)
  • Xpander Exceed Tourer MT – Rp 288.700.000 (RM85,100)
  • Xpander GLS CVT – Rp 279.100.000 (RM82,300)
  • Xpander GLS MT – Rp 270.100.000 (RM79,700)

GALERI:

Google ads
Back to top button