Buletin

WANITA VIRAL LAYAN WHEELIE DAH KENA TAHAN POLIS

Rakaman video yang menjadi viral di media sosial menunjukkan seorang wanita melayan wheelie dengan dibonceng seorang lelaki membawa padah apabila ditahan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, wanita berusia 21 tahun tersebut dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di rumah masing-masing di Jalan Pantai, Batu Pahat, Johor.

“Tangkapan dibuat selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan satu video memaparkan aksi itu dalam laman sosial pada jam 2.30 petang semalam (Jumaat).

“Dalam tangkapan tersebut, sebuah motosikal turut disita,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati aksi wheelie yang berdurasi selama 31 saat berlaku pada 4.45 petang, 10 Mei lalu di Jalan Dato’ Syed Esa.

Ismail menambah, kedua-dua tangkapan tersebut kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Jelasnya, siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020).

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun,” tegasnya.

Pihak polis katanya, menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukaj aksi-aksi yang boleh membahayakan nyawa sendiri atau orang lain, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak mereka. -SH

Google ads
Back to top button