
LELAKI MAUT DIREMPUH KERETA LUMBA DI LITAR DATO’ SAGOR
Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika perlumbaan di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah petang semalam.
Rakaman kejadian itu tular di media sosial dengan memaparkan dua buah kereta yang sedang berlumba bergesel hingga menyebabkan salah sebuah kereta berkenaan terbabas ke tepi litar.
Kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tepi litar segera lari menyelamatkan diri, namun mangsa mengalami kecederaan parah akibat rempuhan berkenaan.
Difahamkan, mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang dan disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE



