Motosikal

PENUNGGANG YAMAHA Y16ZR MAUT TERJATUH BAWAH TRELER

Hasrat empat beradik pulang ke kampung bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer (KM) 54.2 Lebuhraya Karak di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kemalangan melibatkan tiga buah motosikal jenis Y16ZR, Y15ZR, LC135 dan sebuah treler.

“Hasil siasatan polis mendapati, kesemua penunggang berusia 19 hingga 30 tahun dan seorang pembonceng wanita berusia 21 tahun yang merupakan adik-beradik dalam perjalanan dari Damansara pulang ke kampung di Jerantut.

“Treler yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari Klang menghala ke Bentong membawa muatan kertas untuk kitar semula.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal Y16ZR yang ditunggangi mangsa cuba memotong treler di sebelah kiri telah gagal mengawal motosikal itu lalu terbabas dan terjatuh ke bawah treler terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebuah lagi motosikal jenis LC135 sempat membrek tetapi terlanggar bahagian tayar treler itu hanya mengalami cedera ringan manakala sebuah lagi motosikal jenis Y15ZR yang dinaiki dua orang sempat membrek dan selamat tanpa kecederaan.

Jelas Zaiham, akibat kemalangan tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kita memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut tampil untuk membantu siasatan,” tambah beliau. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button