Buletin

LEXUS LC 500 JUARA SUPER GT JEPUN – BERJAYA NAFI KEMENANGAN NISSAN GT-R

Sudah lama tidak dengar atau membaca berita tentang Super GT Jepun selepas pusingan perlumbaan ini tidak dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sejak beberapa tahun dahulu.

Perlumbaan Super GT masih lagi diadakan berhampiran dengan negara kita iaitu di Litar Buriram, Thailand. Setelah perlumbaan Formula 1 di SIC tamat tahun ini, terdapat cadangan untuk menganjurkan kembali Super GT di negara kita. 

Perlumbaan Super GT masih lagi hangat dan nampaknya sekarang ini didominasi oleh Lexus berbanding juara kegemaran atau penghuni setia podium iaitu Nissan.

Pusingan terakhir Super GT telah pun berakhir minggu lepas di Litar Twin Ring Motegi, Jepun di mana Lexus telah memenangi mahkota kejuaraan Super GT untuk tahun kedua berturut-turut yang kali ini direbut oleh LC 500 baharu.

Pasangan Jepun – New Zealand iaitu Ryo Hirakawa dan Nick Cassidy berjaya menjuarai kategori pemandu dan Lexus Team KeePer TOM’S pula menjuara kategori pasukan apabila pasangan pelumba itu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Kredit: (c) Nissan/NISMO

Kes ini sama seperti Marc Marquéz minggu lepas apabila beliau menjuarai MotoGP walaupun berada di tempat ketiga. Juara SuperGT di pusingan terakhir sebenarnya ialah Ronnie Quintarelli dan Tsugio Matsuda daripada pasukan Nissan NISMO yang memandu Nissan GT-R. 

Mereka berdua hanya tiga mata di belakang pasangan Ryo Hirakawa dan Nick Cassidy. Satu perkara menarik tentang pasangan juara SuperGT ini ialah kedua-dua mereka baru berumur 23 tahun dan pasangan termuda dalam sejarah siri ini.

Hirakawa dan Cassidy memulakan perlumbaan akhir di Litar Motegi yang memerlukan pasangan itu berada di tempat pertama atau kedua bagi memastikan kemenangan milik mereka. 

Mereka bermula dari kedudukan grid tiga dan berjaya naik satu tempat pada pusingan keempat daripada 53 pusingan dan selepas itu berjaya mengekalkan kedudukan tersebut dan seterusnya dinobatkans sebagai juara SuperGT 2017.

Satu lagi perkara menarik ialah pasukan yang menggunakan Lexus LC 500 menduduki tempat pertama, ketiga, keempat, kelima dan keenam dalam kategori pasukan seterusnya membuktikan kehebatan model baharu Lexus itu.

Kazuya Oshima dan Andrea Caldarelli daripada pasukan Lexus Team Le Mans WAKO’S berada di tempat ketiga dalam kategori pemandu dan pasukan.

LC 500 memenangi lima daripada lapan pusingan kelas GT500 manakala Lexus RC F GT3 baharu pula juara dalam dua perlumbaan GT300 di mana kedua-duanya daripada pasukan JMS P.MU LMcorsa RC F yang dipandu oleh Yuichi Nakayama dan Sho Tsuboi dengan kedudukan tiga terbaik dalam siri ini.

BACA: WARNA KERETA LEXUS DIINSPIRASI DARI RAMA-RAMA – HASIL KAJIAN SELAMA 15 TAHUN

BACA: KENAPA KERETA MODEN SEMAKIN BANYAK GEAR? (DAN LEXUS BARU INI ADA TRANSMISI 10 KELAJUAN)

Google ads
Back to top button