Buletin

GWM KING KONG CANNON 2022. NAMA GANAS, ENJIN 161HP SAHAJA

Trak pikap nampaknya terus mendapat perhatian daripada pengguna di seluruh dunia. Di pasaran Amerika misalnya, Ford F-150 semakin popular dan ini membuatkan pengeluar dari China cuba untuk memberi saingan. 

Tahun lalu, pasaran trak pikap di China menjadi yang kedua terbesar selepas Amerika. Antara model yang popular di republik tersebut ialah GWM Cannon. Kini, Great Wall Motor memperkenalkan versi baharu Cannon yang dikenali sebagai King Kong. 

Ya, anda tidak salah baca. Itulah nama yang diberikan oleh GWM. King Kong Cannon dikatakan mempunyai dimensi sepanjang 5,365mm, 1,880mm lebar, 1815mm tinggi  dengan tapak roda sepanjang 3,140mm. Angka itu membuatkannya sama panjang dengan Ford F-150 dan kurus sedikit berbanding Ford Ranger. 

Jika anda mahukan ruang kargo lebih besar, varian dengan bed bersaiz 1,818mm ada ditawarkan. Ini membuatkan panjang keseluruhan trak pikap itu menjadi 5,633mm dan tapak roda sepanjang 3,408mm.

Namun, sekiranya anda bayangkan King Kong Cannon mampu menawarkan kuasa mengagumkan seperti namanya, anda pasti akan kecewa. Ini kerana ia hanya mampu mengangkut beban seberat 463kg sahaja. Sudut mendekat adalah sekitar 22 dan 25 darjah. Manakala sudut departure ialah 24 dan 25 darjah. 

King Kong Cannon menggunakan enjin turbo diesel bersesaran 2.0 liter berkuasa 161hp. Manakala varian enjin petrol turbo 2.0L mampu menghasilkan kuasa mencecah 187.7hp. 

Dari segi penampilan, King Kong dilengkapi lampu utama LED, gril radiator dengan kemasan mesh berwarna hitam dan sepasang lampu kabus. Jentera berkenaan dipasang dengan rim bersaiz 16 atau 18 inci yang dibalut oleh tayar Cooper Discoverer AT3. 

Tiada foto dalaman yang didedahkan, tetapi media Australia menyatakan trak pikap itu mungkin dipasang dengan skrin sentuh bersaiz 9 inci, paparan instrumen 7 inci dan bumbung suria untuk varian tertinggi. 

Ditawarkan pada harga cukup murah iaitu AS$15,650 (RM65,200) seunit, King Kong dijangka membuat penampilan pertama dalam acara Guangzhou Motor Show hujung bulan ini. 

Google ads
Back to top button