Buletin

LOKOMOTIF ELEKTRIK DIESEL PERTAMA NEGARA BAKAL DIGUNAKAN DI TANZANIA

Lokomotif elektrik diesel pertama buatan Malaysia, H10 Series yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar dan penyedia perkhidmatan penyenggaraan kereta api, SMH Rail Sdn Bhd (SMH Rail) kini bersedia untuk digunakan oleh Tanzania Railways Corporation (TRC).

Pengerusi dan Pengarah Urusan SMH Rail, Datuk PK Nara, berkata H10 Series yang juga lokomotif mesra alam akan diserahkan kepada TRC dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, penyerahan itu sekali gus akan mengiktiraf keupayaan SMH Rail sebagai pengeluar tempatan pertama mengeksport lokomotif ke pasaran global serta menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan mampan.

Katanya, penghantaran kumpulan pertama lokomotif H10 Series itu akan diterima oleh Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Tanzania, Prof Makame M Mbarawa.

Lokomotif itu, katanya dibina untuk digunakan oleh pengendali pengangkutan Afrika dengan TRC sebagai pelanggan pertamanya.

“H10 Series akan dapat memenuhi keperluan operasi unik kereta api Tanzania melalui sambungan yang lancar dan kebolehcapaian yang dipertingkatkan.

“Kumpulan berbangga untuk menyerahkan lokomotif H10 Series ini kepada rakan kongsi kami TRC. Kami yakin lokomotif ini akan memberikan peningkatan positif kepada industri kargo rel Afrika.

“Kejayaan ini juga dapat dicapai melalui perkongsian dengan semua pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nara berkata, kejayaan utama SMH Rail adalah dari segi pembuatannya apabila lebih 60 peratus dihasilkan oleh kemudahannya, malah sumbangan daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan turut memberikan impak positif kepada sektor rel Malaysia.

“SMH Rail turut memberikan sumbangan penting untuk mentakrifkan semula industri pengangkutan demi menjamin kelestarian perkhidmatan rel dalam jangka panjang selaras dengan slogan ‘Towards Green Mobility’, iaitu matlamat untuk mempelopori pengangkutan mesra alam,” katanya.

Lokomotif H10 Series SMH Rail disenaraikan oleh Malaysia Book of Records sebagai ‘Lokomotif Buatan Tempatan Pertama Untuk Dieksport’.

Ia juga mematuhi piawaian Kesatuan Antarabangsa Keretapi (UIC) yang direka untuk pengangkutan muatan berat dan perkhidmatan jarak jauh tanpa gangguan.

Salah satu daripada ciri utamanya ialah keupayaan beroperasi dalam persekitaran dan keadaan cuaca melampau, untuk jaminan prestasi tergabung dengan tahap kebolehpercayaan dan ketersediaan yang tinggi.

Lokomotif H10 Series dilengkapi dengan penyelesaian pemantauan dan diagnostik jarak jauh untuk menyediakan maklumat terkini dalam masa sebenar kepada pengendali rel.

Ia akan membolehkan pengendali rel memantau prestasi dari jarak jauh termasuk kelajuan, keperluan penyenggaraan, penggunaan bahan api dan pemberitahuan ralat.

Lokomotif itu turut menyokong analisis data yang menjejak pengendalian cuai, mengurangkan risiko kegagalan dan menambah baik keselamatan operasi.

SMH Rail beroperasi dari kemudahan pengeluaran kereta api bersepadu yang bertauliah antarabangsa di Rasa, Hulu Selangor dan mempunyai operasi serantau di beberapa pasaran serata dunia. – BH

Google ads
Back to top button