Buletin

H10 SERIES LOKOMOTIF ELEKTRIK DIESEL PERTAMA BUATAN MALAYSIA MASUK PASARAN EKSPORT

Syarikat pengeluar dan penyedia perkhidmatan penyenggaraan kereta api, SMH Rail Sdn. Bhd. (SMH Rail) melancarkan H10 Series, lokomotif elektrik diesel pertama buatan Malaysia untuk pasaran eksport.

Lokomotif H10 Series SMH Rail disenaraikan oleh Malaysia Book of Records sebagai ‘Lokomotif Buatan Tempatan Pertama Untuk Dieksport’.

Pengerusi dan Pengarah Urusannya, Datuk P K Nara, berkata H10 Series yang dikeluarkan di dalam negara menonjolkan kepakaran Malaysia dalam pasaran kereta api, malah dibina dengan teknologi canggih untuk mengurangkan emisi.

Dia berkata, lokomotif H10 Series yang mesra alam itu akan membawa manfaat besar kepada ekosistem kenderaan rel melalui inovasi reka bentuk kejuruteraan  menggalakkan operasi hijau.

“Kumpulan lokomotif pertama dalam siri ini akan dibekalkan kepada Tanzania Railways Corporation yang membuat tempahan berasaskan sokongan dana daripada Bank Dunia. Saya yakin bahawa lokomotif ini akan membawa manfaat ekonomi besar kepada industri kargo rel Afrika.

“Kami bertekad untuk membangunkan penyelesaian inovatif dalam industri rel global. Dengan pengalaman industri menjangkau lebih 20 tahun, tumpuan kami adalah untuk terus menyediakan penyelesaian cemerlang kepada rakan niaga rel global dari segi kos, kecekapan dan kebolehpercayaan,” katanya pada sesi maya pelancaran Lokomotif H10.

Menurut SMH Rail, lokomotif dwikabin itu mematuhi piawaian Kesatuan Antarabangsa Keretapi (UIC) yang direka untuk pengangkutan muatan berat dan perkhidmatan jarak jauh tanpa gangguan.

Salah satu daripada ciri utamanya ialah keupayaan beroperasi dalam persekitaran dan keadaan cuaca melampau, untuk jaminan prestasi tergabung dengan tahap kebolehpercayaan dan ketersediaan yang tinggi.

Lokomotif H10 Series dilengkapi dengan penyelesaian pemantauan dan diagnostik jarak jauh untuk menyediakan maklumat terkini dalam masa sebenar kepada pengendali rel.

Ia akan membolehkan pengendali rel memantau prestasi dari jarak jauh termasuk kelajuan, keperluan penyenggaraan, penggunaan bahan api dan pemberitahuan ralat.

Lokomotif itu turut menyokong analisis data yang menjejak pengendalian cuai, mengurangkan risiko kegagalan dan menambah baik keselamatan operasi. –BH

Google ads
Back to top button