LOTUS EMIRA GT4 BAKAL DISERAHKAN KEPADA PELANGGAN DENGAN VERSI TINGKAT TARAF
Model kereta sport Lotus terbaharu, Emira GT4 kini sedang giat dalam proses produksi untuk dihantar kepada pelanggan pertamanya, dengan spesifikasi dan prestasi yang telah dinaik taraf dengan lebih ekstensif.
Rangkaian pertama kereta perlumbaan Lotus yang ditunggu ini akan mula dikirimkan kepada pemilik dalam tempoh musim panas nanti, dengan tempahan meliputi dari negara UK, Eropah, China, Australia, dan Amerika Syarikat.
Lotus Emira GT4 ini telah pun menjalani proses dihomologasi bagi membolehkan ianya bersaing dalam perlumbaan kelas GT4 di peringkat global mahu pun di peringkat nasional yang langsung tidak memerlukan sebarang proses homologasi kereta lumba.
Setelah kerja pembangunan diselesaikan melalui kerjasama diantara pasukan Lotus bersama dengan rakan sekutu terkenal di seluruh dunia, RML Group, kereta ini telah dinaik taraf dari versi yang mula diperkenalkan ketika acara VIP di Hethel, Norfolk, pada tahun lalu.
Penambahbaikan meliputi peningkatan kuasa – lebih dari 10% daripada kuasa asal kepada 455 kuasa kuda. Sistem transmisi baharu juga telah digunakan dengan menggunakan kotak gear enam kelajuan berjujuk serta dilengkapi dengan paddleshift.
Kawalan aerodinamik juga telah dioptimumkan untuk disesuaikan dengan permukaan litar yang sempit/berliku-liku serta memastikan kereta ini dapat keluar selekoh dengan lebih pantas dan lancar
Sistem brek juga telah dipertingkatkan bagi memastikan kereta ini dapat memperlahankan sesuai dengan kehendak pemandu termasuklah sistem penyejukan turut diberikan perhatian.
Gavan Kershaw, Pengarah Atribut Kenderaan, Lotus, yang juga merupakan bekas juara Kejuaraan GT British, telah terlibat secara aktif dalam pembangunan Emira GT4 sejak awal lagi.
“Kereta jalanan Emira ini adalah titik permulaan yang sangat baik untuk GT4, dan kami telah memperbaiki dan menala semula kereta tersebut dengan pasukan RML untuk mencipta sebuah kereta perlumbaan yang kami percaya sangat berdaya saing dan berorientasikan prestasi. Kami tahu pelanggan kami tidak sabar untuk memandu kereta ini dan kami menantikan hasil mereka,” ujar Gavan Kershaw.
Emira GT4 adalah hasil gabungan daripada 75 tahun inovasi di jalan raya dan trek, dan menandakan permulaan era baru yang menarik dalam perlumbaan GT prestasi untuk Lotus. Kisah permotoran sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah Lotus.
Tahun ini adalah ulang tahun ke-75 bagi model Lotus yang pertama, Mk I, yang merupakan kereta ujian yang dibina oleh pengasas Colin Chapman pada tahun 1948. Dan sememangnya jenama Lotus ini cukup sinonim dengan kejayaan di litar lumba.
Dan di era moden ini, Lotus telah pun bersaing dengan kereta Evora GT4, yang pernah memenangi perlumbaan dan kejuaraan terkemuka dalam kategori seperti GT British, Dubai 24 Jam, Barcelona 24 Jam, GT Eropah, Sepang 12 Jam, dan Pirelli World Challenge.
Semua kereta pelanggan Emira GT4 sedang dibina secara manual menggunakan tangan oleh pasukan RML di sebuah fasiliti pengeluaran baru yang khusus di Wellingborough, UK dengan anggaran harga £179,000 (RM1,042,870).
BACA : LOTUS EMIRA GT4, 3.5L V6 2GR-FE, 455 BHP 500NM, LEBIH RM1 JUTA!
BACA : LOTUS EMIRA FIRST EDITION DENGAN ENJIN 4 SILINDER AMG, 360 HP