Buletin

LOTUS EMIRA 2022. PILIHAN ENJIN MERCEDES-AMG DAN V6 TOYOTA. KABIN LEBIH CANTIK

Awal tahun lalu, Lotus mengumumkan bahawa ia akan menghentikan produksi model Elise, Exige dan Evora sebagai persediaan menawarkan rangkaian jentera hibrid serta elektrik sepenuhnya. 

Tetapi sebelum itu, Lotus telah memperkenalkan model dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) terakhirnya, Emira yang dijangka dijual pada harga AS$84,500 (RM351,700) seunit. Emira sebenarnya menggantikan model Evora yang bersaing secara langsung dengan Porsche 718 Cayman.

Kereta sports itu dibina di atas chasis aluminium baharu Lotus dan mempunyai dimensi yang sama dengan Evora. Buat pertama kalinya, Lotus menggunakan enjin daripada Mercedes-AMG. Enjin 2.0 liter turbo yang turut dipasang pada Mercedes-AMG A35 itu mampu menjana kuasa 302hp. Ia bagaimanapun menerima perubahan pada sistem pengambilan udara dan ekzos untuk menghasilkan kuasa 360hp. 

Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7-kelajuan AMG. Ini membolehkan pecutan 0-100km/j diperoleh dalam masa cuma 4.5 saat. 

Lebih gemarkan enjin Jepun? Jangan bimbang kerana Emira turut ditawarkan dengan enjin 3.5 liter V6 berkuasa 385hp daripada Toyota . Pelanggan juga boleh memilih sama ada kotak gear manual atau automaik enam kelajuan. Top speed yang mampu dicatatkan ialah 290km/j. 

Dari segi visual, Emira memang diinspirasikan daripada hypercar elektrik Evija. Ia dapat dilihat dengan jelas pada bahagian bonet hadapan dan corong pengambilan udara di belakang badan. Manakala dua corong udara di bawah lampu belakang meniru rekaan kereta halo lotus 1973 hp. 

Perubahan paling ketara ialah pada ruang kabin Emira. Ia kini dilengkapi sistem infohibur dengan skrin sentuh bersaiz 10.25 inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Maklumat pemanduan pula dipaparkan menerusi skrin besar di belakang stereng. 

Emira dipasang dengan pakej bantuan pemandu ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, brek automatik, pengesan penat dan banyak lagi. Pelanggan juga boleh menambah Lotus Drivers Pack yang terdiri daripada set suspensi lebih keras, ciri launch control dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

GALERI

Google ads
Back to top button