Buletin

LOTUS EMIRA GT4, 3.5L V6 2GR-FE, 455 BHP 500NM, LEBIH RM1 JUTA!

Pada September 2021 kami pernah paparkan tentang Lotus Emira GT4. Model lumba itu kini memasuki fasa pengeluaran dengan spesifikasi dan prestasi yang dipertingkatkan.

Emira GT4 akan dihantar kepada kumpulan pertama pelanggan di United Kingdom (UK), Eropah, China, Australia dan Amerika Syarikat.

Emira GT4 dihomologasi untuk perlumbaan GT4 global dan melalui pelbagai pilihan yang ditawarkan, kereta ini juga layak untuk perlumbaan yang tidak memerlukan homologasi dan siri khas di serata dunia.

Lotus bekerjasama dengan RML Group untuk membangunkan kereta ini dan versi terbaru lebih berkuasa atau peningkatan sepuluh peratus kepada 455 bhp.

Banyak lagi yang dipertingkat seperti kotak gear baharu perlumbaan enam kelajuan jujukan (sequential) paddle shift, sistem pembrekan, pegas, peredam dan pek penyejukan.

Bahagian aerodinamik dioptimum untuk litar dengan bentangan berliku dan berkelajuan tinggi.

Emira GT4 dibekal enjin Toyota 3.5 liter V6 2GR-FE takungan kering talaan Lotus, pengecas lampau Harrop TVS 1900 dan sistem pengurusan enjin Motec yang menghasilkan 455 bhp dan tork 500Nm.

Enjin itu dipadan bersama kotak gear Hewland dan pembeza gelinciran terhad (LSD). Ampaian kereta menggunakan set peredam Ohlins TTx dengan larasan dua hala dan bar antigoleng depan dan belakang.

Set brek perlumbaan dipadan dengan sistem Bosch Motorsport ABS boleh laras.

Tayar yang digunakan dari Pirelli GT4 saiz 265/645×18 di depan dan 305/660×18 untuk belakang dan dipasang pada rim aluminium tempa.

Pada bahagian dalam, pemandu dilindungi rangka keselamatan enam sudut, kerusi lumba dengan tali pinggang keledar enam sudut, sistem pemadam api elektronik dan suis pengasing.

Dari segi dimensi, Emira GT4 berukuran panjang 4,410mm, tinggi 1,290mm dengan trek 1,636mm. Berat asas kereta 1,360 kilogram dan bergantung kepada spesifikasi pilihan pelanggan.

Emira GT4 dipasang dengan tangan oleh RML di Wellingborough, UK dan tiada had pengeluaran ditetapkan. Harga bermula daripada 179,000 (RM1,041,427).

BACA: LOTUS EMIRA FIRST EDITION 2022 KINI DI MALAYSIA. BERMULA RM1.13 JUTA!

BACA: PADA 2004 VAUXHALL VXR220 DIPERKENAL, ‘SEPUPU’ LOTUS ELISE 

BACA: IBARAT JET PEJUANG DALAM DUNIA LAYANG-LAYANG – PERUMPAMAAN LOTUS EVIJA

Google ads
Back to top button