M PERFORMANCE PARTS UNTUK BMW 5 SERIES TOURING DAN i5 TOURING, BERGAYA DAN SEGAK!
BMW 5 Series generasi kelapan (G61) hadir bersama pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan elektrik (EV).
Model Touring atau wagon menyusul pada Februari lalu dan seperti biasa menawarkan praktikaliti untuk sebuah BMW dan pilihan buat pelanggan yang tidak mahu kenderaan utiliti sukan.
Berbeza daripada model sedan, 5 Series Touring G61 berada di dalam generasi keenam manakala i5 Touring membuka lembaran sebagai siri wagon produksi elektrik pertama BMW.
Apa lagi yang menarik untuk wagon BMW? Perkakasan M Performance Parts untuk kedua-dua 5 Series Touring dan i5 Touring.
Selain rekaan yang menambah lagi daya tarikan, BMW M Performance Parts mempunyai faedah dari segi binaan ringan dan aerodinamik.
Perkakasan tersebut dibuat khusus untuk 5 Series Touring dan i5 Touring dengan M Sport Package atau M Sport Package Pro dan sepadan mengikut geometri dan reka bentuk kereta.
Rekaan kit badan juga seimbang, tidak terlalu menonjol dan tidak terlalu ringkas. Kesemua perkakasan karbon dibuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP) dan dilapisi lakuer.
Pemisah depan M Performance Carbon terdiri daripada tiga bahagian dengan liang untuk laluan angin dan membantu dari segi daya mendap. Selain ira karbon, pelanggan boleh memesan kemasan hitam kilat.
Skirt sisi juga kemas dan mempunyai alur tersendiri. Untuk memeriahkan lagi bahagian tepi, pelanggan boleh mendapatkan grafik M Performance yang menonjolkan garis badan kereta.
Satu lagi jaluran dan lebih jelas ialah pada skirt sisi. Pelekat badan tersebut dibuat mengikut geometri badan kereta.
Perumah cermin sisi mempunyai dua jenis dan pelindung antena M Performance dibuat dari Aramid. Plastik bertetulang Aramid menyamai CFRP dan memiliki kebolehtelapan elektromagnetik lebih tinggi.
Peresap belakang M Performance tiga bahagian boleh dinobatkan sebagai kit paling menonjol dengan bentuk tidak tetap dan turut dibuat daripada Aramid.Â
Spoiler bumbung hitam kilat dan sirip sisi turut menyerlahkan bahagian belakang kereta.
Selain itu, pemilik 5 Series enjin konvensional dan hibrid plug-in mempunyai pilihan penutup tangki bahan api M Performance.
Kit badan yang menarik mesti sepadan dengan rim bersesuaian. Roda aloi ringan M Performance ditawarkan dalam saiz 19, 20 dan 21 inci untuk musim panas atau sejuk.
Rim aloi ringan M Performance Cross Spoke 21 inci musim panas dengan set tayar boleh dipakaikan pada kedua-dua model ICE dan EV dan dalam warna M Bicolor Jet Black atau M Frozen Midnight Grey.
Rim aloi ringan M Performance 19 inci dengan corak Y warna Matt Black untuk kesemua varian juga ditawarkan sebagai pilihan roda musim panas dengan set tayar.
Rim tersebut untuk musim sejuk dengan set tayar sesuai untuk rantai salji dan boleh dipesan bersama tayar permukaan ekstra lembut atau berpaku.
Lagi pilihan untuk musim sejuk ialah rim aerodinamik M saiz 20 inci dengan set tayar dan dalam warna Bicolour Midnight Grey. Set roda tambahan boleh disimpan di dalam beg tayar M Perfomance.
Selain gaya, aerodinamik dan cengkaman BMW menawarkan sistem brek 20 inci M Performance.
Angkup brek jelas dalam warna merah dan menampilkan logo M dan lebih menyerlah jika dipadan bersama rim 21 inci dengan rongga terbuka.Â
Angkup brek depan jenis kekal dengan enam omboh dan angkup belakang jenis terapung satu omboh.
Cakera ringan dengan rekaan alih udara pada bahagian dalam turut membantu dalam prestasi pembrekan yang lebih berkesan.
Pada bahagian dalam, seperti biasa diriasi pelapik ambang pintu dan selain karbon pelanggan ditawarkan pelapik dari aluminium. Kaki pemandu dan penumpang dialas karpet lantai M Performance.Â