
BREMBO HYPURE KHAS UNTUK JENTERA SUPERSPORT LANCAR TAHUN INI
Antara aspek penting dalam menghasilkan enjin berkuasa adalah mencari jalan untuk memberhentikannya dan dalam perihal ini tiada pihak lain yang pakar kecuali Brembo.
Sehubungan itu, Brembo bakal memperkenalkan kaliper brek terbaru menerusi Hypure yang dibangunkan khas untuk jentera supersport dan 10 peratus lebih ringan berbanding pesaing lain.

“Brek kaliper ini dibangunkan khas untuk jentera berprestasi tinggi terutamanya motosikal supersport,” jelas Ketua Pembangunan Teknikal Motosikal Brembo, Cosimo Facibeni.
Brembo telah pun berkongsi ‘teaser’ ketika di EICMA tahun lalu dan pengeluar alat ganti brek Itali itu telah pun mengesahkan bahawa Hypure akan diperkenalkan tahun ini.

Menariknya, Brembo turut memberitahu kaliper brek Hypure itu akan turut dipasang secara standard kepada sebuah jentera berprestasi tinggi namun masih belum dinyatakan jenama dan model dimaksudkan.
Selain itu, Brembo turut mendakwa Hypure juga mengurangkan kadar geseran pad sekaligus menyumbang kepada penjimatan yang lebih baik dalam jangka masa panjang.

“Kaliper ini adalah 10 peratus lebih ringan berbanding rujukan utama dalam pasaran (Brembo Stylema) dan berat kurang 900g,” tambah Facibeni.
Walaupun enggan mendedahkan secara jelas bagaimana mereka berjaya menurunkan berat sebanyak itu, Facibeni memberitahu, “Segalanya disumbangkan oleh campuran magis Brembo dan alatan khas yang digunakan.”