
M-SPORT FORD MULA MENGUJI MODEL RALLY1 UNTUK MUSIM WRC 2022
Walaupun saingan World Rally Championship (WRC) 2021 agak baharu sahaja bermula, namun buat tiga pasukan utama misi ujian jentera baharu untuk musim WRC 2022 kian rancak dilakukan. Terkini, pasukan yang berpangkalan di Britain, M-Sport Ford telah pun berpeluang untuk menguji sekali gus mendedahkan imej sebenar model Rally1 yang bakal digunakan bermula tahun 2022 nanti.
Pasukan M-Sport Ford telah pun mengadakan ujian pada hujung minggu lepas di kawasan hutan Greystoke yang terletak kira lebih kurang sejam pemanduan daripada Ibu Pejabat mereka di Dovenby Hall. Tugasan untuk sesi pandu uji tersebut diserahkan kepada bekas pemandu WRC, Matthew Wilson. Walau pun prestasi semasa pasukan M-Sport Ford dalam saingan WRC kelihatan sedikit tenggelam, namun ianya bukanlah alasan untuk mereka mengambil mudah saingan tahun hadapan. Nampaknya pasukan M-Sport Ford ini muncul sebagai pasukan pertama yang bertanding untuk menyiapkan dan giat menjalankan ujian terhadap jentera Rally1 mereka, sementelah umum mengetahui bahawa saingan hadapan kelas Rally1 bakal turut menggunakan sistem hibrid yang dibekalkan oleh firma dari Jerman, Compact Dynamics.

Bermula tahun 2022 kelak, buat pertama kalinya saingan WRC bakal menggunakan sistem hibrid untuk kelas utama. yang mana sistem hibrid ini bakal digunapakai sewaktu pemandu perlu bergerak sebelum / selepas perlumbaan SS ke pusat servis atau pun sewaktu tengah berlumba di SS. Ikutlah sukalah sebenarnya. Sebabnya kuasa yang bakal dibekalkan sekitar 100kW daripada pek bateri yang digunakan.

Menariknya mengenai jentera Rally1 milik M-Sport Ford ini, ianya adalah sebuah jentera yang dibina serba baharu berbanding model Fiesta WRC sedia ada. Yang kekal barangkali hanyalah asas enjin 1.6 liter tubro yang digunakan sekarang, tetapi lain lain perkakasan seperti sistem ampaian, sistem transmisi, perkakasan elektronik serta kotak gear adalah serba baharu. Maka, disebabkan itu ianya perlu diuji ketahanan serta keupayaan semuanya berfungsi dengan baik tanpa masalah. Walau pun tiada pengumuman secara rasmi, namun dipercayai M-Sport Ford menggunakan model dari Fiesta sebagai model Rally1.
Sementara itu, pasukan Hyundai Shell Mobis turut mengesahkan bahawa mereka bakal menggunakan model Hyundai i20 N sebagai asas untuk jentera Rally1 mereka. Manakala pasukan Toyota Gazoo Racing pula tampaknya hampir pasti menggunakan rekabentuk GR Yaris baharu sebagai jelmaan Rally1 mereka kelak.
BACA : WRC 2022 – M-SPORT DAN TOYOTA DAH BERSEDIA TAPI HYUNDAI APA CERITA