
WRC 2022 – M-SPORT DAN TOYOTA DAH BERSEDIA. TAPI HYUNDAI APA CERITA?
Perlumbaan World Rally Championship (WRC) bagi musim 2022 pasti dinantikan penuh debar. Kita semua sedia maklum, bahawa bermula tahun 2022, kesemua jentera rali Rally1 bakal dibangunkan serba baharu dan hadir dengan sistem hibrid. Benar, inilah cabaran yang harus disahut bermula. Maka, untuk membina semula jentera dari kosong, pasti ianya lebih sukar dan memerlukan dana yang lebih besar.
Dan pasukan M-Sport Ford nampaknya terlebih dahulu bersedia untuk menyahut seruan bagi menyedia dan menyiapkan model Rally1 serba baharu itu. Khabarnya, pasukan M-Sport telah pun mula melakukan ujian awal terhadap jentera yang masih lagi tidak diketahui asal usulnya. Masih Fiesta lagikah? Atau pun berubah chasis menggunakan model Puma? Atau pun menggunakan chasis yang disediakan oleh FIA? Entahlah.
Pasukan Toyota GR juga tampaknya sudah bersedia apabila dijangka menguji jentera baharu pada penghujung Mac ini, memandangkan pusingan WRC berikutnya hanya bakal berlangsung pada April nanti di Croatia. Bolehlah nak buat persiapan apa yang patut.
Namun, buat pasukan Hyundai Shell Mobis masih lagi tiada sebarang khabar berita tentang pembangunan jentera Rally1 yang baharu itu nanti. Dalam erti kata lain, pasukan Hyundai yang berpangkalan di Alzenau Jerman itu masih lagi belum menerima lampu hijau daripada Ibu Pejabat Hyundai di Seoul. Malah, Prinsipal pasukan Andrea Adamo juga tidak mengetahui langsung tentang perkhabaran tentang jentera baharu yang bakal digunakan kelak untuk musim 2022.

Menurut pembacaan Google, ada cakap cakap menyatakan ada juga berkemungkinan Hyundai bakal menarik diri daripada pentas premier WRC dan menumpukan kepda kelas bawahan sahaja. Boleh jadi juga sebab ketika ini Hyundai hanya aktif menguji jentera baharu bagi kategori Rally2 sahaja.
Sungguh pun demikian masih lagi tiada kata putus daripada Hyundai, Andrea Adamo telah pun bersedia dengan langkah awal pasukannya telah pun membeli terlebih dahulu dua unit kit hibrid memandangkan ianya adalah arahan daripada FIA sendiri dengan menggunakan dana sendiri. Namun beliau berkata, hanya setakat itu sahajalah yang mampu beliau usahakan.
Dari segi garis masa, beliau nyatakan Jun adalah merupakan waktu yang paling akhir untuk diberikan kata putus. Itu pun pasukan harus berkerja lebih keras untuk menyiapkan jentera dalam tempoh yang cukup singkat. Mungkinkah benar hanya dua pasukan sahaja yang bakal beraksi dalam pentas utama WRC tahun hadapan? Kita tunggu sampai Jun nanti apa perkhabaran daripada Hyundai.
BACA : WRC 2022 – KERETA RALI HIBRID. OK KE TAK NI?
BACA : GR YARIS AP4 DIDEDAHKAN – INILAH DIA KERETA RALI YANG DINANTIKAN