
MALAYSIA AUTOSHOW 2025: CHERY TIGGO CROSS RASMI DIPERKENALKAN – HARGA BAWAH RM100K
Sempena Malaysia Autoshow 2025, Chery Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan model terbaharu dalam barisan SUV mereka iaitu Tiggo Cross.
Pelancaran rasmi dijadual berlangsung dalam separuh kedua tahun ini, namun pendaftaran minat sudah pun dibuka.
Sebanyak 500 unit pertama akan diperuntukkan untuk pasaran tempatan. Pembeli yang membuat tempahan awal dengan bayaran RM500 dijanjikan penghantaran bermula Ogos 2025.
Untuk pasaran Malaysia, dua versi ditawarkan, satu dengan enjin petrol sepenuhnya dan satu lagi dalam bentuk hibrid (HEV).

Dari segi dimensi, Tiggo Cross berukuran 4,318mm panjang, 1,830mm lebar, 1,670mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,610mm.
Dari segi penggayaan, kedua-dua varian tampil dengan rupa yang hampir serupa – lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang LED, rel bumbung, spoiler dan angkup brek berwarna merah. Bezanya terletak pada saiz roda: 18-inci untuk versi petrol dan 17-inci bagi HEV.
Di dalam, kedua-duanya dilengkapi skrin berkembar 10.25-inci, kamera pandangan 540 darjah, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta sistem audio enam pembesar suara. Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik enam-hala, namun hanya versi HEV dilengkapi sokongan lumbar.
Ciri tambahan lain termasuk stereng pelbagai fungsi, pencahayaan ambien, upholsteri kulit sintetik, pengecas tanpa wayar 15W, penyaman dua zon dengan liang belakang, fungsi hidupkan enjin dari jauh dan pengelap automatik.

Beralih pada kuasa, varian petrol menerima enjin 1.5 liter turbo yang menghasilkan 147PS dan 210Nm tork, digandingkan dengan transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan.
Ini membolehkan SUV ini memecut dari sifar ke 100 km/j dalam 9.9 saat, dengan penggunaan bahan api sekitar 6.3L/100 km.
Bagi varian hibrid pula, Tiggo Cross hadir dengan sistem kuasa Chery Super Hybrid (CSH) terkini. Ia menggunakan enjin 1.5 liter NA empat silinder kitaran Atkinson (G4G15B) yang menjana 102PS dan 125Nm tork, serta digabungkan dengan transmisi DHT150 dan dua motor elektrik yang menyumbang tambahan 204PS serta 310Nm tork.
Varian ini mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.6 saat dengan kecekapan bahan api 5.4L/100 km.

Dari segi keselamatan, model HEV diberikan tujuh beg udara manakala varian petrol menerima enam.
Ciri keselamatan asas termasuk sistem pemantauan tekanan tayar, amaran had laju dan bantuan mula mendaki. Sistem ADAS pula ditawarkan untuk kedua-dua varian, dengan fungsi seperti AEB, amaran pelanggaran hadapan, pemantauan titik buta serta amaran lintasan trafik belakang.
Tambahan, varian HEV menerima tambahan seperti bantuan tukar lorong, cruise control dengan pengecaman kelajuan pintar serta amaran buka pintu.
Walaupun harga rasmi masih belum diumumkan, Chery menyasarkan model ini akan berada di pasaran dengan harga di bawah RM100,000.
GALERI:
TIGGO CROSS





TIGGO CROSS CSH









- BACA: MALAYSIA AUTOSHOW 2025: JETOUR VT9 RASMI DILANCARKAN – TAWAR DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM118K
- BACA: DIPERKENAL DI MALAYSIA AUTOSHOW – INILAH ICAUR 03, SUV ELEKTRIK BERGAYA ROBUST
- BACA: MALAYSIA AUTOSHOW 2025 – ZEEKR 7X DIDEDAHKAN, HARGA BERMULA RM182K
- BACA: MALAYSIA AUTOSHOW 2025 – PROTON PAMER e.MAS 5, BAKAL SAINGI BYD DOLPHIN, EV P2




