Buletin

MALAYSIA AUTOSHOW 2025 – PROTON PAMER e.MAS 5, BAKAL SAINGI BYD DOLPHIN, EV P2

Proton hari ini memperkenalkan EV terbaharu mereka untuk tatapan pengunjung acara Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung bermula 9 hingga 15 Mei 2025. 

Walaupun dibalut dengan pelekat camouflage berwarna-warni, pasti semua sudah tahu bahawa EV itu merupakan model Geely Star Wish yang dijual sebagai Geome Xingyuan di pasaran China. 

e.MAS 5 dibina di atas platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) Geely, platform sama yang digunakan oleh e.MAS 7. Dari segi dimensi, EV berkenaan 4,135mm panjang, 1,805mm lebar, 1,570mm tinggi dengan tapak roda sepanjang 2,650mm.

Dengan saiz begitu, ia akan bersaing dengan model-model seperti BYD Dolphin dan EV terbaharu daripada Perodua nanti.  

Walaupun masih belum ada spesifikasi rasmi dikongsikan oleh Proton, di China Geome Xingyuan hadir dengan pilihan pek bateri CATL lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 30.12kWh (78hp) atau 40.16kWh (114hp). Ia mampu menawarkan jarak dari 310km hingga 410km mengikut kitaran CLTC dengan kelajuan maksimum cuma 135km/j. 

Unit yang dipamerkan ini hadir dengan tinted gelap sepenuhnya. Jadi, langsung tidak nampak apa yang ada di dalam kabinnya. Tetapi, kalau dilihat pada model Geome Xingyuan, e.MAS 5 akan dilengkapi dengan instrumen digital bersaiz 8.8 inci, skrin sentuh 14.6 inci dan lampu ambien  bersama 256 pilihan warna. 

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, EV berkenaan dijangka dilancarkan menjelang hujung 2025. Harga pula dikatakan sangat kompetitif iaitu sekitar RM80,000. 

Untuk makluman, Geome Xingyuan cukup popular di China dengan jualan lebih 28,000 unit pada Januari 2025 sahaja. Pada Februari, ia sudah mencatat jualan lebih 100,000 unit. Mampukah e.MAS 5 mencapai angka jualan yang bagus di Malaysia juga? Sama-sama kita tunggu. 

GALERI

Google ads
Back to top button