
MALAYSIA AUTOSHOW 2025: DONGFENG BOX SILVER EDITION CURI TUMPUAN, TAMPIL ELEGAN
Malaysia Autoshow 2025 menyaksikan satu lagi tarikan utama dalam dunia mobiliti elektrik apabila Dongfeng memperkenalkan edisi terbaharu model kompak elektrik mereka – BOX Silver Edition.
Ditampilkan dalam warna Glacier Silver yang anggun, varian ini membawa sentuhan elegan kepada reka bentuk urban dan praktikal Dongfeng BOX.
Dari aspek reka bentuk luaran, BOX Silver Edition mengekalkan identiti futuristik dengan jalur lampu hadapan LED dan rim aloi bersaiz 17-inci.
Selain Glacier Silver, model ini juga ditawarkan dalam warna lain seperti putih, ungu, hijau dan biru.

Masuk ke ruang dalaman, pengguna disambut dengan susun atur moden dan praktikal – antaranya termasuk paparan kluster lima inci, ruang simpanan dalam perehat tangan, serta talam storan pelbagai guna. Sistem infotainmen pula menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara penuh.
Model ini dibina berdasarkan BOX E3 dan dikuasakan oleh bateri 42.3kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 430 km mengikut kitaran CLTC.
Motor elektrik berkuasa 70kW menjamin prestasi pemanduan yang lancar, manakala sistem pengecasan pantas membolehkan tahap cas meningkat dari 30% ke 80% dalam hanya setengah jam, menjadikannya sangat sesuai untuk gaya hidup bandar.

Teknologi pintar turut menjadi nadi utama edisi ini. Antara yang ditawarkan ialah sistem bantuan pemandu tahap 2 (ADAS Level 2), skrin infotainmen bersaiz 12.8-inci, fungsi parkir automatik serta pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar.
Ciri keselamatan tidak dikompromi, model ini hadir dengan brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dan pelbagai sistem bantuan pemanduan lain, menambah keyakinan pemandu dalam pelbagai situasi jalan raya.
Untuk pasaran tempatan, Dongfeng BOX E3 ditawarkan pada harga bermula RM113,700.
GALERI:



- BACA: MALAYSIA AUTOSHOW 2025: CHERY TIGGO CROSS RASMI DIPERKENALKAN – HARGA BAWAH RM100K
- BACA: MALAYSIA AUTOSHOW 2025: JETOUR VT9 RASMI DILANCARKAN – TAWAR DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM118K
- BACA: DIPERKENAL DI MALAYSIA AUTOSHOW – INILAH ICAUR 03, SUV ELEKTRIK BERGAYA ROBUST
- BACA: MALAYSIA AUTOSHOW 2025 – ZEEKR 7X DIDEDAHKAN, HARGA BERMULA RM182K



