
MAMPUKAH BUGATTI CHIRON SPORT TAPAU JET PEJUANG DASSAULT RAFALE?
Richard Hammond pernah memandu Bugatti Veyron berlumba dengan jet pejuang Eurofighter Typhoon dalam rancangan Top Gear sekitar tahun 2007.
Biarpun, jentera terbabit memiliki kuasa pecutan padu tetapi ia masih tidak mampu menewaskan jet pejuang terbabit.
Selepas 14 tahun berlalu, Chiron pula dipertaruhkan berentap dengan jet pejuang maritim, Dassault Rafale di sebuah pangkalan tentera laut Perancis berdekatan Landivisiau.
Pierre-Henri Raphanel diberi penghormatan memandu Chiron Sport dengan spesifikasi Les Legendes du Ciel (LDC) yang merupakan model terhad kepada 20 unit sahaja.
Dia merupakan pemandu uji Bugatti berpengalaman dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans sebanyak 14 kali bermula 1986 hingga 2000.
Raphanel berkhidmat selama lebih satu dekad bersama pengeluar kenderaan itu, pernah memecahkan rekod kelajuan kereta road-legal pada 2010 memandu Bugatti Veyron 16.4 Super Sport, mencapai 431.072km/j.

Dalam pada itu, Kapten Etienne pula mengendali jet pejuang Rafale memberitahu ketepatan dan persediaan adalah segalanya.
“Segalanya berlaku sangat pantas dengan Rafale Marine dan setiap pergerakan yang dilakukan perlu tepat.
“Begitu juga dengan Chiron Sport pada kelajuan tinggi,” katanya.

Chiron Sport mendahului permulaan perlumbaan hasil dari 1,479hp dan 1,600Nm tork yang dijana enjin 8.0-liter quad-turbo W16.
Kuasa dihantar ke semua roda melalui transmisi dwi-klac 7-kelajuan dan sistem AWD.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 2.4 saat dengan mencecah kelajuan 200km/j dalam 6.1 saat dan 300km/j dalam hanya 13.1 saat.
Kelajuan 400km/j pula mampu dicapai dalam 32.6 saat.

Bagi Rafale pula, ia mencapai 165km/j selepas 150 meter, 210km/j selepas 250 meter dan berlepas pada 450 meter sekitar 260km/j.
Ia mempunyai kuasa 5,646hp untuk menujah badan seberat 10.3 tan (berat maksimum 24.5 tan) mencapai kelajuan melebih 1.6 Mach (1,975km/j).
“Saya meninggalkan Rafale dalam beberapa ratus meter pertama, tapi selepas itu, ia berada 20 meter di atas dan di sebelah saya di udara. Suatu pemandangan menakjubkan,” kata Raphanel.
Pihak penganjur mengisytiharkan perlumbaan tersebut sebagai keputusan seri. -carscoops