Buletin

EDISI KHAS BUGATTI CHIRON LES LEGENDES DU CIEL.20 UNIT SAHAJA, HARGA RM14 JUTA!!!

Bugatti memperkenalkan model edisi khas terbaharu Bugatti Chiron Les Legendes du Ciel (Legends of the Sky/Heaven) dalam memberi penghormatan kepada para pelumba legenda seabad lalu.

Para pelumba ini turut pernah mengerah keringat sebagai juruterbang pesawat pejuang dalam Tentera Udara Perancis.

Dibangunkan berdasarkan Chiron Sport, jentera edisi khas ini didatangkan sebanyak 20 unit sahaja yang memiliki tanda harga AS$3.4 juta (RM14 juta) tidak termasuk cukai.

Les Legendes du Ciel yang dijangka memasuki produksi pada hujung tahun ini dan diedarkan kepada pembeli pada tahun hadapan, mendapat sentuhan eksklusif di bahagian ruang dalaman serta luaran.

“Sejak syarikat ditubuhkan lebih 110 tahun dahulu, Bugatti memiliki persahabatan erat dengan sektor penerbangan.

“Bahkan, para pelumba Bugatti seperti Albert Divo, Robert Benoist dan Bartolomeo ‘Meo” Costantini pernah berkhidmat sebagai juruterbang dalam Tentera Udara Perancis.

“Ia tidak termasuk legenda penerbangan Perancis, Roland Garros yang memandu Bugatti Type 18. Justeru, menjadi kewajipan kami dalam memberi penghormatan dengan membangunkan jentera khusus kepada mereka,” kata Presiden Bugatti, Stephan Winkelmann.

Hypercar ini didatangkan dengan warna Gris Serpent yang diinspirasikan daripada warna pesawat pada tahun 1920-an.

Selain itu, terdapat satu garisan putih pada bahagian tengah badan jentera malah warna biru, putih dan merah terletak kemas di hadapan kenderaan merupakan bendera Perancis.

Di bahagian fender pula, terdapat logo khas menandakan keistimewaan Les Legendes du Ciel.

Memasuki ruang dalaman kabin, jentera hypercar ini menyerlahkan nostalgia dengan kemasan kulit Gaucho yang terdapat pada pesawat era 1900-an.  

Selain itu, ia hadir dengan lukisan tangan pesawat Bugatti Type 13 dan Nieuport 17 yang dibangunkan pada tahun 1916.

Pesawat ini cukup popular kerana kecekapan melakukan maneuver, kepantasan dan kebolehpercayaan.

Les Legendes du Ciel mendapat khidmat enjin W16 8.0 liter quad turbo yang mampu menjana kuasa sehingga 1,479hp dan tork 1,600 Nm. – carscoops.

GALERI

Google ads
Back to top button