Buletin

MARK ZUCKERBERG LAWAT KILANG FORD, TOLONG PASANG F150

Dalam lawatan pertamanya ke Michigan, Amerika Syarikat, Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg sempat mengunjungi kilang Rouge Ford di Dearbon. Lawatan itu merupakan sebahagian daripada insisiatif yang dikenali sebagai “Personal Year of Travel Challenge”.

Cabaran tersebut bertujuan membolehkan beliau meneroka dan bercakap dengan lebih ramai orang untuk mengetahui bagaimana mereka hidup, bekerja serta berfikir tentang masa depan.

Ketika berada di kilang itu, Zuckerberg berjumpa dengan pekerja Ford untuk melihat dengan lebih dekat tentang kerja mereka. Selain mengetahui bagaimana Ford  mengadaptasikan teknologi serta inovasi baru ke dalam rekaan, pembangunan dan pengilangan produknya.

Zuckerberg juga tidak melepaskan peluang untuk memasang beberapa komponen trak pikap Ford F150. Selepas itu, beliau menaiki kenderaan berautonomi Ford Fusion Hybrid yang masih berada dalam fasa penyelidikan. Pengalaman tersebut memberi gambaran lebih jelas kepadanya tentang bagaimana Ford menyiapkan diri untuk bertukar menjadi sebuah syarikat auto dan mobiliti pada masa akan datang.

Zuckerberg kemudian menjamu selera di restoran Jolly Pumpkin Pizzeria and Brewery, sebelum bertemu dengan sekumpulan pelajar Islam di Universiti Michigan-Dearbon. Dearbon menempatkan komuniti Islam yang terbesar dan tertua di AS.

“Saya berbual dengan mereka yang kebanyakannya ialah imigran dari negara berkonflik perang seperti Palestin, Jordan dan Iraq. Mereka berkongsi cerita bagaimana kediaman dibom dan dimusnahkan.

“Sebelum saya pergi, seorang pelajar memberitahu saya, profesornya menyatakan bahawa salah satu cara untuk mengurangkan Islamophobia adalah dengan mengenal pasti masalah. Kemudian fokus untuk berhubung dengan manusia lain, membina kefahaman dan memberikan penyelesaian.

“Terima kasih kepada anak-anak muda ini kerana membantu saya untuk lebih memahami dan merintis jalan pada masa depan,” tulis Zuckerberg dalam status FB miliknya.

BACA: TAK DAPAT WILDTRAK, FORD RANGER 2.2L FX4 PUN OK

Google ads
Back to top button