
MASALAH PEDAL PEMECUT, PENGHANTARAN TESLA CYBERTRUCK DITANGGUHKAN
Tesla terpaksa menghentikan penghantaran Cybertruck kepada pembeli kerana masalah teknikal, menurut bakal pemilik baharu Cybertruck di forum Cybertruck Owners Club.
Notis daripada Tesla kepada bakal pemilik Cybertruck menyatakan terdapat kelewatan yang tidak dijangka mengenai penghantaran kenderaan itu.
“Hai, kami baru sahaja dimaklumkan tentang kelewatan yang tidak dijangka mengenai penghantaran kenderaan anda.

“Kami perlu membatalkan janji temu penghantaran kenderaan anda untuk esok dan kami akan menghubungi anda semula apabila kami dapat menghantar kenderaan mengikut jadual,” tulis pemberitahuan daripada Tesla.
Pengguna X dan Tesla Whole Mars Catalog berkata penghantaran Cybertruck akan dihentikan selama tujuh hari kerana masalah dengan pedal pemecut trak.
Pengguna TikTok el.chapito1985 menyiarkan video, menerangkan apa yang berlaku kepada Cybertruck mereka dan menurutnya, isu ini bukan berpunca daripada pedal tetapi penutup plat aluminiumnya.
“Penutup plat aluminium itu boleh meluncur ke atas semasa memandu,” jelasnya.
“Apabila kereta semakin berat dan lebih berkuasa, kecacatan seperti ini menjadi masalah lebih besar,” luahnya kecewa.