
MASALAH TERBESAR KERETA ELEKTRIK IALAH BERAT BATERI
Tidak dinafikan lagi bahawa kereta elektrik adalah teknologi masa hadapan biarpun berhadapan dengan cabaran daripada teknologi hidrogen. Buat masa ini penerimaan teknologi kereta elektrik adalah leboh baik berbanding dengan teknologi lain dengan pengenalan bateri yang lebih berkuasa dan lebih cepat untuk dicaj dalam masa yang singkat.
Namun kita harus mengakui bahawa kereta elektrik masih lagi ada satu masalah yang agak sukar untuk diselesaikan biarpun teknologi bateri menjadi semakin baik iaitu masalah berat. Ya bateri adalah berat dan dalam sesetengah keadaan berat bateri boleh mencecah sehingga 300 kg sehingga 500kg.
Sebagai contoh kita ambil BMW iX1 datang dengan berat mencecah sehingga 2085kg berbanding dengan varian petrol BMW X1 yang hanya seberat 1665kg sahaja. Untuk rekod BMW iX1 datang dengan bateri sebesar 64.7kWh manakala BMW X1 datang dengan tangki sebesar 45 liter sahaja
Dari segi jarak perjalanan, BMW X1 petrol mampu dipandu sejauh 700km dalam keadaan paling efisyen manakala BMW iX1 elektrik adalah sekitar 440km mengikut standard WLTP. Tapi dari segi berat, BMW iX1 adalah sekitar 400kg lebih berat berbanding varian petrol.
Kalau dibandingkan dengan berat, varian elektrik adalah 400kg lebih berat berbanding dengan varian petrol yang hanya memerlukan sekitar 45 liter (atau jika kita letakkan ketumpatan petrol 0.77) maka berat petrol hanyalah 34.65kg sahaja.
Selain daripada lebih ringan, petrol juga adalah lebih kecil dari segi isipadu. Manakala bateri pula memerlukan saiz yang besar dan berat untuk jarak perjalanan yang lebih pendek. Ketumpatan tenaga untuk bateri adalah rendah berbanding dengan petrol.
Namun masalah lain dengan berat bateri ialah beban tambahan yang perlu diangkut dan dibawa oleh kereta elektrik. Beban tambahan ini menjadikan kereta elektrik lebih berat berbanding dengan kereta petrol lantas menjadikan pemanduan kurang menyeronokkan terutama di selekoh
Semakin berat sesebuah kenderaan, semakin tinggi nilai momentum yang terhasil daripada halaju dan berat kenderaan. Momentum adalah takrifan apabila halaju bertindak pada sesuatu jisim dalam satu arah yang lurus. Dalam fizik, nilai momentum dikira berdasarkan formula berikut:

Nilai momentum ini adalah berkadar terus dengan berat kenderaan dan juga halaju kenderaan. Semakin tinggi berat dan semakin laju kenderaa, maka momentum yang terhasil adalah semakin tinggi. Jadi apabila anda mulai memasuki selekoh, momentum ini akan cuba membuatkan kereta kekal di laluan lurus biarpun anda telah memberi input kepada stering untuk memasuki selekoh
Pada ketika ini jika anda memandu kereta elektrik dengan laju di laluan lurus, anda akan dapati kereta elektrik cuba menentang dan kekal di laluan lurus biarpun anda sudah memberikan input stering. Tapi tidaklah teruk sangat, cuma anda akan rasa pergerakan kereta daripada mula memasuki selekoh tidak lancar dan “fluid” seperti kereta petrol yang lebih ringan
Sebaik sahaja masuk ke selekoh, terdapat satu lagi daya yang bertindak ke atas kereta dan daya ini dikenali sebagai daya emparan atau centrifugal force. Sama seperti momentum, centrifugal force ini turut dipengaruhi oleh berat. Semakin tinggi berat, semakin teruk daya emparan.
Daya emparan boleh dikira berdasarkan rumus berikut:

Daya emparan ini akan bertindak pada kenderaan dan menyebabkan fenomena olengan atau body roll. Jika sistem suspensi kereta elektrik terlalu lembut, fenomena body roll ini akan menjadi semakin teruk. Bagi mengatasi masalah olengan, penyerap hentakan dan spring terpaksa diperkuatkan.
Tapi keadaan ini akan mengakibatkan kereta elektrik menjadi terlalu keras dan menyebabkan ketidakselesaan pada penumpang ketika kereta elektrik melalui jalan yang tidak rata. Spring yang keras juga menyebabkan penumpang terasa melambung ketika melalui jalan yang berbonggol.
Pendek kata berat bateri pada kereta elektrik ini akan mengganggu dinamik pemanduan dan juga keselesaan pada penumpang serta pemandu. Jika anda ingin beralih kepada kereta elektrik, pastikan badan anda boleh beradaptasi dengan perubahan dinamik kenderaan kereta elektrik.
Bagi penulis pula, berat bateri pada kereta elektrik ini benar-benar merompak keseronokan pemanduan pada kereta elektrik.