Buletin

JALAN MASJID INDIA JADI LOKASI KE-5 PKPD. PKPD DI HULU LANGAT TAMAT MALAM SEMALAM

Kerajaan hari ini mewartakan kawasan sekitar Masjid India, Kuala Lumpur  sebagai lokasi kelima dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Kawasan yang terlibat ialah Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang sekitar Masjid India.

Sebelum ini, menara City One di Jalan Munshi Abdullah dan bangunan Selangor Mansion serta Malayan Mansion di Jalan Masjid India telah dikenakan PKPD.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan, kerajaan melaksanakan PKPD kelima di kawasan sekitar Masjid India berkuat kuasa 14 April hingga 28 April 2020.

“Semua penghuni kawasan terlibat diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri mengumumkan bahawa PKPD di Batu 21 hingga 23 Kampung Sungai Lui, Hulu Langat di Selangor tamat malam tadi.

PKPD yang dikenakan ke atas Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui bagaimanapun dilanjutkan sehingga 28 April depan.

Manakala PKPD di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor; Menara City One di Jalan Munshi Abdullah dan PKPD keempat di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India akan dilanjutkan sehingga 28 April berikutan peningkatan kes positif dalam kalangan penghuninya. – Sinar Harian  

Tags
Google ads
Back to top button