Buletin

MONYET, GAJAH, BERUANG HIMALAYA, BURUNG MERAK KELUAR KE JALAN RAYA DI INDIA CARI MAKANAN

Ratusan ekor monyet dilihat menguasai jalan-jalan yang lengang di sekitar istana presiden India ketika negara itu menjalani tempoh kuarantin selama tiga minggu berikutan penularan wabak COVID-19.

Dengan 1.3 bilion penduduk kini diarah duduk di rumah, jalan yang kosong itu menjadi lokasi haiwan-haiwan yang kelaparan. Monyet-monyet itu mencuri banyak makanan, tetapi setakat ini tidak membahayakan nyawa manusia.

Monyet baka Rhesus macaque memang sudah lama dikenali dengan sifatnya yang suka merampas makanan daripada beg pejalan kaki. Ia bagaimanapun bukanlah masalah baru di Delhi.

Di Mumbai, burung merak dikatakan berjalan di atas kereta-kereta yang diparkir. Minggu lalu, seekor beruang hitam Himalaya dilaporkan berlegar-legar di ibu negeri Gangtok, Sikkim sebelum memasuki sebuah pejabat telekom dan mencederakan seorang jurutera.

Terdahulu, pegawai Perkhidmatan Perhutanan India telah berkongsi video di laman sosial yang menunjukkan sekumpulan gajah melalui kedai-kedai. Lebih menyedihkan, empat ekor kuda yang digunakan untuk membawa pelancong di Victoria Memorial, Kolkata mati akibat kelaparan.  

Jurucakap persatuan pencinta haiwan, Love and Care for Animals India, Sushmita Roy menyatakan pihaknya bimbang lebih banyak haiwan akan mati akibat kebuluran berikutan penguatkuasaan perintah kuarantin.

Lembu dan anjing terbiar juga dilapor mengambil alih jalan-jalan di bandar dengan mencari makanan dari tong sampah. Namun, sisa makanan dikatakan sudah tiada kerana restoran dan kedai makan ditutup. – AFP

Google ads
"
"
Back to top button