MAZDA CX-3 2024 TIBA DI PASARAN MALAYSIA – TIGA VARIAN, DILENGKAPI ADAS, 154HP, HARGA BERMULA RM115K
Pengedar rasmi kereta Mazda di Malaysia, Bermaz Motor, melancarkan CX-3 serba baharu untuk pasaran tempatan.
Mazda CX-3 2024 adalah diimport sepenuhnya dari Thailand dan boleh didapati dalam tiga varian iaitu CX-3 1.5 Plus, CX-3 2.0 Plus serta CX-3 2.0 High.
Bagi model baharu ini, Mazda telah menggantikan varian Core dengan varian Plus termasuk didatangkan bersama naik taraf lebih baik seperti lampu LED, DRL LED, cermin sisi boleh dilipat berkuasa serta pengesan undur.
Di bahagian dalam, versi Mazda CX-3 Plus baharu menerima ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar tetapi untuk Android Auto, ia masih disertakan dengan wayar.
Perincian standard bagi kesemua varian termasuklah skrin sentuh Mazda Connect 8-inci, stereng kulit, penghawa dingin manual, sistem audio enam pembesar suara, dua port USB, kamera undur dan tempat duduk fabrik.
Untuk varian teratas, ia disertakan bersama ciri-ciri seperti berikut:
- Pengecas tanpa-wayar
- Apple Carplay tanpa-wayar
- Bumbung suria
- Paparan 360 darjah
- Ciri keselamatan i-Activesense
- Rim aloi baharu
Bagi ciri keselamatan, tersedia sebagai standard ialah enam beg udara, suite ADAS i-Activsense merangkumi High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Smart City Brake Support (SCBS).
Secara mekanikal, model spesifikasi asas didatangkan dengan enjin SkyActiv 1.5-liter, berupaya menghasilkan 114hp dan tork 149Nm.
Varian lebih tinggi pula dijana oleh enjin 2.0-liter SkyActiv-G, menghamburkan kuasa 154hp dan 206Nm tork.
Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan.
Mazda CX-3 2024 tiba dalam tujuh pilihan warna iaitu:
- Aero Gray
- Snowflake White Pearl
- Jet Black
- Machine Gray
- Polymetal Gray
- Soul Red Crystal
- Platinum Quartz (2.0L High sahaja)
Beralih pada harga, perincian adalah seperti dinyatakan di bawah: –
- CX-3 1.5 Plus: RM115,720
- CX-3 2.0 Plus: RM126,159
- CX-3 2.0 High: RM139,159
Dalam pada itu, Mazda turut menawarkan jaminan serta penyelenggaraan percuma 5-tahun.