
CHERY TETAP PENANDA ARAS BAHARU KESELAMATAN BATERI HIBRID UNTUK IKLIM TROPIKA ASEAN
Pengeluar kenderaan China, Chery, mencatat satu lagi pencapaian penting dalam aspek keselamatan apabila berjaya melengkapkan fasa kedua kempen Global Safety Challenge, melibatkan ujian bateri hibrid di Indonesia yang mempunyai iklim lembap dan tropika – menyerupai keadaan cuaca di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif “Revolusi Keselamatan”, dua unit bateri Chery Super Hybrid (CSH) telah direndam dalam tangki air laut sedalam satu meter selama lebih 53 jam. Ujian ini direka untuk mensimulasikan keadaan banjir dan kakisan tinggi yang biasa berlaku di rantau Asia Tenggara.
Lebih menarik, selepas ujian tersebut, bateri yang sama dipasang semula ke dalam SUV TIGGO 8 CSH dan terus dipandu menuruni cerun curam oleh Naib Presiden Chery Sales Indonesia, Zeng Shuo, bersama Pengarah Chery Sales Indonesia, Budi Darmawan Jantania, sekaligus membuktikan keselamatan dan fungsi bateri kekal terjamin walaupun selepas terdedah kepada persekitaran ekstrem.

Ketua Jabatan Jenama Chery Sales Indonesia, Rifkie Setiawan, menjelaskan bahawa ujian ini bukan sekadar ujian rintangan air biasa, malah turut melibatkan penilaian ke atas penebat elektrik, kekuatan struktur dan kestabilan pengecasan bateri.
Menurut beliau, kejayaan ini menegaskan lagi bahawa sistem bateri CSH direka untuk menahan cabaran persekitaran yang melampau termasuk risiko litar pintas, kebocoran, atau kebakaran.
Sistem Perlindungan ‘Guardian Battery’ Diperkuat
Teknologi bateri dalam Chery TIGGO 8 CSH menggunakan pek bateri jenis LFP berkapasiti 18.3kWh yang telah mendapat pensijilan IP68, menjadikannya tahan air dan habuk.
Ia mampu beroperasi dalam julat suhu dari -35°C hingga 60°C dan menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 90km secara penuh. Pengecasan pantas turut disokong melalui sambungan CCS2, dengan keupayaan mengecas dari 30% ke 80% dalam masa hanya 20 minit.
Struktur keselamatan bateri turut dilengkapi dengan 14 titik penambat untuk menguatkan rangka kenderaan, serta sistem penebat pelbagai lapisan — 10 lapisan di bahagian bawah, 15 di sisi dan 16 lapisan perlindungan haba, menjadikannya antara bateri paling lengkap dari segi keselamatan dalam kelasnya.
Ketahanan sistem ini juga telah diuji di China melalui pelbagai simulasi ekstrem termasuk ujian perlanggaran berganda, ujian terjunan dari ketinggian hampir 5 meter dan pendedahan kepada semburan garam selama 720 jam.

Ujian Disesuaikan Untuk Iklim Tempatan
Chery menekankan bahawa pendekatan mereka berbeza, tidak hanya bergantung kepada piawaian makmal, tetapi menyesuaikan ujian dengan persekitaran tempatan.
Dengan kerapnya kejadian banjir kilat, kelembapan tinggi dan suhu yang tidak menentu di rantau ini, teknologi Chery dibangunkan dengan mempertimbangkan cabaran sebenar di lapangan.
Langkah ini selaras dengan strategi global Chery “In Somewhere, For Somewhere”, membangunkan kenderaan dengan mengambil kira keperluan dan keadaan iklim di pasaran tertentu, termasuk Malaysia.
Lokasi Seterusnya: Mexico
Selepas Indonesia, lokasi ujian seterusnya ialah Mexico, di mana SUV TIGGO 7 CSH akan menjalani ujian geseran bawah badan di kawasan berbukit untuk menilai kekuatan perlindungan bateri pada altitud tinggi dan permukaan jalan yang mencabar.
Chery juga merancang untuk membawa ujian keselamatan ini ke beberapa pasaran utama lain seperti Afrika Selatan serta Brazil sebagai usaha berterusan menetapkan piawaian baharu bagi keselamatan kenderaan elektrik dan hibrid di peringkat global.
- BACA: MAZDA EZ-60 TERIMA LEBIH 30,000 TEMPAHAN AWAL, PELANCARAN SEPTEMBER INI DI CHINA
- BACA: SISMA AUTO RASMI LANCAR BILIK PAMERAN & PUSAT SERVIS DENZA BAHARU DI GLENMARIE
- BACA: BENTAYGA EWB DENGAN WARNA CANDY PINK SATU SAHAJA DI DUNIA. ANDA PUN BOLEH TEMPAH DENGAN MULLINER KALAU NAK
- BACA: GEELY GALAXY M9 – SUV PERDANA TERBAHARU DARI GEELY. PENGGANTI UNTUK PROTON X90 MUNGKIN?







