
MAZDA3 – FINALIS ECOTY 2014
Mazda kini nyata berada dalam landasan terbaik untuk kembali menjadi pengeluar kenderaan yang disegani.
Segalanya berubah selepas Mazda memperkenalkan rangkaian SKYACTIV pada tahun 2011. Sejak itu, pembuat kereta dari Hiroshima, Jepun tersebut terus menerima pelbagai pengiktirafan yang sekali gus menaikkan jenamanya di mata dunia.
Terbaharu, Mazda3 yang juga menjadi model amat ditunggu-tunggu oleh pengguna di Malaysia, dipilih sebagai finalis untuk Car of the Year 2014 Eropah (ECOTY 2014). Pemilihan itu menjadikan Mazda sebagai satu-satunya pengeluar dari Jepun yang terpilih dalam senarai eksklusif tersebut.
Jentera kompak itu disenaraikan bersama enam lagi model lain iaitu BMW i3, Citroen C4 Picasso, Mercedes-Banz S-Class, Peugeot 308, Skoda Octavia dan Tesla Model S. Model-model ini dipilih daripada 30 calon untuk menerima anugerah automotif paling tua dan paling didambakan di Eropah itu.
Pemenang ECOTY 2014 akan ditentukan oleh 58 juri dari 22 buah negara Eropah. Keputusannya bakal diumumkan di Geneva, Switzerland pada Mac 2014.
Mazda3 dilancarkan secara rasmi di Eropah pada Oktober lalu. Jika terpilih sebagai penerima ECOTY 2014, Mazda3 akan menambah koleksi anugerahnya. Sebelum ini, ia telah pun menerima anugerah Car of the Year oleh pihak autoguide.com di Amerika Syarikat. Selain menjadi finalis dalam banyak lagi anugerah lain.
Model ini nampaknya mengikuti jejak dua generasi sebelumnya yang memenangi lebih 130 anugerah di seluruh dunia, selain pernah menjadi finalis ECOTY.
Sama seperti model Mazda CX-5 dan Mazda6, Mazda3 dilengkapi teknologi SKYACTIV sepenuhnya. Teknologi inovatif itu kemudian digabungkan pula dengan reka bentuk KODO – Soul of Motion yang aerodinamik. Kombinasi terbaik bukan?












