Buletin

“MENGAPA TIDAK?” – CEO SIME DARBY ULAS PEMBELIAN KEPENTINGAN DALAM UMW

Konglomerat Sime Darby Bhd, membeli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Bhd daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada RM3.57 bilion secara tunai.

Menurutnya, gabungan dan pembelian tersebut adalah untuk mempertingkatkan serta memperkukuh kehadirannya dalam sektor automotif Malaysia.

Langkah itu akan mentransformasikan Sime Darby secara strategik menjadi pemain industri automotif terkemuka di negara ini dengan penambahan jenama pasaran massa iaitu Toyota dan Perodua, menguasai sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pembelian itu akan melengkapkan portfolio premium hingga mewah sedia ada Sime Darby iaitu BMW, Rolls-Royce dan Porsche.

“Kami adalah pengedar untuk BMW dan tempat mereka melakukan pemasangan. Apa yang dilakukan (pengambilalihan UMW) adalah untuk menutup jurang itu. Perodua mahu pun Toyota adalah jenama besar dalam perniagaan pembuatan dan pengedaran.

“Jadi selepas ini, kami akan mengadakan pemasangan, pembuatan, pengedaran, runcit dan selepas jualan. Jadi ini melengkapkan spektrum kami,” katanya.

“Dari segi pasaran, mereka (UMW) adalah syarikat kereta kedua terbesar (secara tempatan). Maksud saya, produk mereka diterima dengan baik dan boleh dipercayai serta sangat diminati oleh orang ramai.

“Jadi mengapa tidak untuk bekerjasama dengan Toyota kerana ia mungkin membuka peluang kepada kami,” jelasnya lagi.

Jeffri berkata bahawa kumpulan itu bagaimanapun masih belum berbincang dengan UMW mengenai rancangan masa depannya kerana ia masih awal.

“Kami belum berpeluang untuk melakukan banyak perkara lagi atau bercakap dengan UMW tetapi akan ada beberapa perubahan serta beberapa peluang sinergi.” – The Edge

Google ads
Back to top button