
SIME DARBY BELI FIRMA AUSTRALIA RM1.49 BILION – PELUANG PENGEMBANGAN PROFIL
Anak syarikat milik penuh tidak langsung Sime Darby Bhd, Sime Darby Industrial Machinery Australasia Pty Ltd (SDIMA) menandatangani perjanjian penjualan saham (SSA) untuk membeli keseluruhan modal saham Kuxton Pty Ltd dan 98.9 peratus modal saham Kagera Pty Ltd pada AS$500 juta (RM1.49 bilion).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Sime Darby menjelaskan cadangan pembelian itu akan berasaskan tanpa tunai dan tanpa hutang, tertakluk kepada pelarasan lazim modal kerja, perbelanjaan modal serta penilaian serta rekod jumlah stok yang dipegang.
Kagera ialah syarikat pegangan kumpulan firma yang menjalankan pengedaran Caterpillar Australia Selatan (Covpower), beberapa hartanah dan kepentingan usaha sama.

Cavpower ialah syarikat pengedaran Caterpillar Inc (CAT) yang berpangkalan di Australia Selatan dengan memberi perkhidmatan terutama kepada industri perlombongan, pembinaan, tenaga dan pengangkutan.
Menurut Sime Darby, cadangan pembelian itu akan dibiayai menerusi pinjaman luar dan dana dalaman.
“Pembelian ke atas Cavpower membawa peluang bagi pengembangan bahagian perindustrian secara geografi untuk memasuki pasaran pengedaran Australia Selatan melalui penyedia yang kukuh, besar dan bereputasi tinggi.
“Pembelian ini menyempurnakan jejak pengedaran sedia ada yang dimiliki bahagian perindustrian di samping mempelbagaikan daripada pasaran arang batu menerusi pendedahan kepada sejumlah besar deposit bahan penting (tembaga, litium dan kobalt) di Australia Selatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson.
Sime Darby memaklumkan, dengan kemudahan canggih baru dibina, kapasiti tambahan ini mewakili peluang penting untuk pihaknya bagi digunakan dalam perniagaan bahagian perindustrian di Australia.
Tambahan pula, cadangan pembelian itu menawarkan profil dan skala lebih besar kepada Sime Darby dengan memperoleh pengedaran terkemuka global yang diiktiraf selain mengukuhkan serta menyatukan kedudukan Sime Darby di Australia. – Berita Harian