Buletin

MERCEDES-AMG A35 4MATIC – 306HP, 400NM, MULA DIJUAL PADA OKTOBER 2018

Mercedes-AMG baru-baru ini menambah rangkaian model A menerusi pengenalan A35 4MATIC.

Hatchback tersebut dikuasakan oleh enjin empat selinder bersesaran 2.0 liter turbp yang mampu menjana sehingga 306hp dan tork 400Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan bersama sistem pacuan empat roda berprestasi tinggi.

Kuasa itu membolehkannya bersaing dengan model-model berkuasa tinggi sepeti Volkswagen Golf R, BMW X2 M35i dan Audi S3. Apa yang berbeza mungkin dari segi torknya sahaja.

Ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 4.7 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j.

Sebagai sebuah AMG, naik taraf prestasi bukan setakat bahagian enjin sahaja. Malah jentera itu dipasang dengan cagak dan plat aluminium untuk meningkatkan tahap ketegaran torsional di bahagian hadapan.

Pasukan jurutera turut menambah sistem suspensi AMG Ride Control yang menggunakan komponen aluminium ringan, knuckle stereng AMG dan pelbagai komponen yang diambil daripada model A45.

Pelanggan juga boleh memilih untuk memesan Sistem Redaman Adaptif yang hadir denga tiga mode berbeza.

Memandangkan A35 4MATIC mampu memecut dengan pantas, ia dilengkapi sistem brek berprestasi tinggi. Ia terdiri daripada angkup empat omboh dan cakera bersaiz 350mm di hadapan. Manakala roda belakang pula menerima angkup dengan omboh tunggal dan cakera bersaiz 330mm.

Perubahan prestasi lain termasuklah sistem stereng sports, ekzos AMG dan pelbagai talaan khas seperti mode “Slippery” pada AMG Dynamic Select System.

Dari segi penampilan, A35 dilihat mempunyai banyak persamaan dengan varian A-Class AMG Line. Biarpun begitu, ia dibezakan menerusi rekaan gril yang unik dan splitter di hadapan. Ia juga didatangkan dengan bampar belakang lebih sporty dan spoiler besar.

Gayaannya dipertingkatkan lagi dengan peresap udara, rim ringan bersaiz 18 inci dan paip ekzos berkembar di belakang.

Masuk ke dalam kabin, pemandu akan dihidangkan dengan stereng yang diratakan pada bahagian bawahnya, kemasan gentian mikro dan jahitan benang merah. Pemandu juga boleh menukar talaan AMG, kluster instrumen digital dan sistem infotainmen.

Mercedes-AMG A35 4MATIC akan melakukan debut pada acara Paris Motor Show 2018, 2 Oktober depan dan jualan bermula tidak lama kemudian.

GALERI

Google ads
Back to top button